Wednesday, 1, October, 2025
Utama Nasional Belanjawan 2026 disesuaikan ikut keutamaan negeri – PM

Belanjawan 2026 disesuaikan ikut keutamaan negeri – PM

oleh Ammar Haziq

MELAKA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Belanjawan Negara 2026 akan dirangka berdasarkan keutamaan ekonomi setiap negeri, bukan semata-mata ditentukan di peringkat kementerian.

Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi seimbang dan tidak mengabaikan kepentingan rakyat, khususnya dalam menghadapi tekanan kos sara hidup.

“Setiap negeri ada kekuatan tersendiri. Di Melaka, tumpuan harus diberi kepada pelancongan dan pembuatan kerana pencapaiannya sangat memberangsangkan,” katanya pada sesi libat urus Belanjawan 2026 bersama pemain industri pelancongan dan pembuatan di Banda Hilir, di sini.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan; serta Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Datuk Zamzuri Abdul Aziz.

Anwar menambah keresahan rakyat akibat kos sara hidup perlu diberi perhatian kerana wujud jurang antara golongan elit dan masyarakat bawahan.

“Pengukuhan ekonomi tidak boleh hanya bergantung pada teori ekonomi tradisional, sebaliknya mesti dikaitkan dengan keperluan sebenar rakyat serta kebijaksanaan dasar supaya langkah diambil tidak membebankan,” ujarnya.

Sesi libat urus itu menghimpunkan kira-kira 150 pemain industri pelancongan dan pembuatan, selain wakil agensi kerajaan negeri serta Persekutuan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com