Sandakan: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan sudah melakukan segala usaha bagi memastikan keadilan ditegakkan dalam kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.
Beliau berkata, rakyat tidak seharusnya menjatuhkan hukuman terlalu awal terhadap mana-mana pihak, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada proses undang-undang.
Katanya, beliau memahami kemarahan rakyat khususnya di Sabah yang bangkit membantah kelemahan siasatan awal kes berkenaan.
“Tiada sebab untuk marah rakyat kerana bangkit dengan isu ini. Memang ada kelemahan, tetapi kerajaan sudah buat maksimum, polis tertinggi turun, CID ambil alih siasatan, inkues diadakan.
“Tapi jangan hukum dulu, biar ikut peraturan. Ini negara hukum, bukan ‘law of the jungle’ di mana semua boleh menuduh sesuka hati,” katanya ketika berucap pada Himpunan Temu Rapat Umum Sempena 27 Tahun Reformasi di Dewan Yu Yuan, di sini.
Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, bersama barisan kepimpinan PKR negeri.
Anwar yang juga Presiden PKR berkata, kerajaan tidak akan melindungi mana-mana pihak jika terbukti bersalah, walaupun individu terbabit bergelar orang kenamaan.
“Apa untung saya mahu lindung sesiapa? Satu anak kita mati. Menuduh Perdana Menteri pun tidak ada guna.
“Dalam mesyuarat Kabinet, bukan saya seorang, semua ada. Datuk Zahid (Timbalan Perdana Menteri), Anthony Loke (Menteri Pengangkutan). Semua sependapat, biar siasat penuh dulu, jangan hukum awal,” katanya.