MELAKA: Malaysia perlu memelihara warisan alam semula jadi sebagai asas pembangunan industri pelancongan bertaraf dunia dan persediaan menghadapi masa hadapan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, langkah itu penting kerana Malaysia sebagai satu daripada 12 negara megabiodiversiti di dunia memiliki lebih 15,000 spesies tumbuhan dan 175,000 spesies fauna yang menjadi tarikan unik pelancong antarabangsa.
“Melindungi hutan hujan, bakau dan terumbu karang bukan sahaja tanggungjawab negara, tetapi juga semua pihak. Apabila ekosistem ini berkembang, ia akan menjadi tarikan semula jadi bagi pelancong,” katanya dalam ucapan perasmian Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 bertemakan Pelancongan dan Transformasi Mampan serta Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) ketujuh di sini.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof. Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; serta Setiausaha Agung Pelancongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Zurab Pololikashvili.
Anwar berkata, pelancongan berasaskan alam semula jadi terus menjadi fokus utama selain pelancongan lasak, mesra Muslim, perubatan dan kesihatan, lawatan pendidikan, acara perniagaan serta hab nomad digital.
Menurutnya, kerajaan juga mempromosikan model kitar semula dan mekanisme perkongsian hasil supaya pulangan pelancongan disalurkan semula kepada destinasi yang menyokong sektor itu.
“Langkah ini penting bagi menangani ‘beban tidak kelihatan’, iaitu kos terselindung dalam penyelenggaraan infrastruktur dan ekosistem yang menjadi sandaran kepada pembangunan pelancongan negara,” katanya.