KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima undangan daripada Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS) untuk mengadakan lawatan serta menyampaikan syarahan di Universiti Oxford pada tarikh yang akan ditentukan kemudian.
Dalam catatan di Facebook, Anwar memaklumkan jemputan itu disampaikan ketika beliau menerima kunjungan hormat Lembaga Pemegang Amanah OCIS di Seri Perdana, Putrajaya.
Delegasi tersebut terdiri daripada bekas Presiden Turkiye, Dr Abdullah Gul; bekas Perdana Menteri Kuwait, Sheikh Dr Mohammed Al-Sabah; Pengarah OCIS, Dr Farhan Nizami; serta Felo OCIS, Datuk Dr Afifi al-Akiti.
“Kami bertukar pandangan terkait perkembangan hal ehwal ekonomi dan hubungan antarabangsa dunia Islam, khususnya dalam memupuk dialog antara dunia Islam dengan Barat, di samping memperkukuh kefahaman mengenai ekonomi dan pasaran Islam,” kata Perdana Menteri.