Tuesday, 7, October, 2025
Utama Nasional SK Putrajaya Presint 11(1) menang Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2025

SK Putrajaya Presint 11(1) menang Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2025

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11(1) mengharumkan nama negara apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sekolah Terbaik Dunia 2025 bagi kategori Menyokong Kehidupan Sihat oleh badan pendidikan antarabangsa, T4 Education.

Pengiktirafan itu sekaligus menempatkan Malaysia sebaris dengan negara-negara lain apabila sekolah berkenaan berjaya mengetepikan pencabar daripada Turkiye, India, Filipina, United Kingdom, Vietnam, Mexico, Brazil dan Thailand.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan di platform X merakamkan penghargaan kepada warga sekolah, Kementerian Pendidikan (KPM) serta semua pihak terlibat. Beliau menyifatkan kemenangan tersebut sebagai bukti inovasi pendidikan negara mampu menjadi teladan dan sumber inspirasi di pentas dunia.

Anwar menegaskan pencapaian itu selaras dengan semangat Malaysia MADANI yang menitikberatkan pendidikan inklusif, kesejahteraan dan pembangunan generasi masa depan.

Kejayaan SK Putrajaya Presint 11(1) berpaksikan kepada pembangunan aplikasi mudah alih HELPIE yang dilancarkan pada 2023. Aplikasi berkenaan dibangunkan khusus untuk meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan mental dalam kalangan murid, selain menyediakan sokongan berbentuk interaktif.

Inisiatif itu turut diperkukuh dengan kempen rakan sebaya di bilik darjah yang berjaya memberi manfaat kepada lebih 1,000 murid sehingga kini.

Pengumuman rasmi dibuat semalam menerusi siaran langsung dari United Kingdom, dan disaksikan pada satu perhimpunan khas anjuran KPM dengan kerjasama Yayasan Hasanah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Majlis tersebut turut dihadiri oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Sebagai juara kategori, SK Putrajaya Presint 11(1) membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$50,000 (RM235,000) yang akan dimanfaatkan untuk mengukuhkan lagi inisiatif pendidikan mereka.

Anugerah Sekolah Terbaik Dunia yang diperkenalkan T4 Education sejak 2022 kini menjadi antara pengiktirafan pendidikan paling berprestij di dunia, meraikan usaha sekolah dalam mencetuskan perubahan positif dan memberi inspirasi kepada masyarakat global.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com