Tuesday, 7, October, 2025
Utama Nasional Tiada siapa kebal daripada siasatan rasuah – PM

Tiada siapa kebal daripada siasatan rasuah – PM

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa sumbangan besar seseorang individu dalam pembangunan negara tidak boleh dijadikan alasan untuk melepaskan mereka daripada sebarang siasatan berkaitan rasuah.

Menurut beliau, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar diberikan kebebasan penuh untuk menjalankan siasatan tanpa tekanan, termasuk terhadap tokoh politik atau individu berpengaruh.

“Aneh apabila ada pihak yang mempertikaikan keberanian SPRM mengambil tindakan, malah memarahi kononnya tidak menghargai jasa mereka.

“Hakikatnya, semua orang ada jasa, sama ada tukang cuci, penghulu, hatta yang paling korup juga pernah ada jasa. Namun itu tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalang siasatan,” katanya ketika berucap di Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-58 SPRM serta Pelancaran Keep Malaysia Clean, di sini, pada Rabu.

Anwar menambah, sikap mempertahankan tokoh berpengaruh hanya kerana jasa atau keadaan kesihatan mereka boleh melemahkan usaha memerangi rasuah.

“Dalam sejarah, Firaun juga ada jasa, memberi makan dan gaji kepada pekerjanya. Tetapi itu tidak menghapuskan penindasan yang dilakukan. Saya tidak menyamakan dengan keadaan sekarang, cuma mahu menegaskan tindakan mesti diambil tanpa pilih kasih,” jelasnya.

Perdana Menteri turut menekankan bahawa Kerajaan MADANI akan menggunakan sepenuhnya mandat yang ada untuk memastikan SPRM bebas bertindak, sekali gus membersihkan imej negara daripada terus dicemari isu rasuah.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com