SHAH ALAM: Aktivis kemanusiaan dan bekas wartawan, Zainal Rashid Ahmad mengesahkan kapal Fair Lady yang dinaikinya bersama pasukan misi Global Sumud Flotilla (GSF) ditahan tentera Israel sekitar jam 4 pagi waktu Gaza (9 pagi waktu Malaysia), pada Khamis.
Menurut Zainal, kapal mereka terpisah daripada kumpulan utama flotilla selepas mengalami kerosakan enjin dan hanya tiba di lokasi empat jam kemudian sebelum dikesan pihak tentera Israel.
“Kami berada kira-kira 20 kilometer dari kapal-kapal lain apabila dikesan. Sebuah kapal Israel menghalang perjalanan kami dan mengarahkan supaya berhenti. Kami jelaskan kami adalah konvoi kemanusiaan. Mungkin kerana kapal kecil dan tiada aktivis dalam senarai hitam, mereka hanya minta kami tunggu,” katanya menerusi hantaran suara kepada media.
Zainal atau lebih dikenali sebagai ZRA menaiki Fair Lady bersama Ustaz Muhammad Abdullah atau Ustaz Mad Kechik dari MyCare Terengganu, dua kru kapal serta dua lagi aktivis antarabangsa dari Afrika Selatan dan Mexico, menjadikan keseluruhan enam orang.
Beliau berkata semua mereka selamat dan masih bersemangat meneruskan misi “break the siege” meskipun ditahan tentera Israel.
Sepanjang perjalanan misi, Zainal menghasilkan lebih 30 video yang dikongsikan di TikTok dan Facebook dengan jumlah tontonan melebihi 25 juta. Usaha itu, katanya, sebagai cara menyebarkan maklumat kepada rakyat Malaysia serta memberi sokongan kepada kempen GSF.
“Sekurang-kurangnya 25 juta rakyat Malaysia boleh melihat sendiri perjalanan misi ini melalui kandungan yang dimuat naik. Walaupun kecil, usaha sebegini diharap membantu perjuangan Global Sumud Flotilla,” katanya.
Beliau menegaskan, meskipun kini ditahan, semangat pasukan tidak luntur dan mereka akan terus memainkan peranan dalam menyampaikan mesej kemanusiaan bagi rakyat Gaza.