KUALA LUMPUR: Kesemua 23 sukarelawan Malaysia yang ditahan tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza akhirnya dibebaskan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Anwar, kumpulan aktivis berkenaan kini dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Ramon di selatan Israel sebelum diterbangkan ke Istanbul, Turkiye menggunakan pesawat khas yang disediakan kerajaan Turkiye.
“Alhamdulillah, 23 rakyat Malaysia kini menuju ke Lapangan Terbang Ramon di selatan Israel dan akan dibawa ke Istanbul dengan pesawat khas dari Turkiye,” katanya dalam sidang media khas, hari ini.
Beliau berkata pembebasan itu dibuat selepas semua aktivis menandatangani arahan pengusiran yang dikeluarkan oleh kerajaan Israel.
Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa kesemua mereka dijangka pulang ke tanah air esok malam atau lusa selepas melalui proses transit di Istanbul.
Katanya, kerajaan memutuskan supaya mereka ditempatkan sementara di Istanbul selama sekurang-kurangnya satu hari untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan pemulihan mental akibat tekanan ketika dalam tahanan.
“Selepas perbincangan dengan Ketua Risikan Malaysia di Ankara serta penyelarasan bersama Duta Besar dan Kedutaan Malaysia, kami bersetuju mereka perlu rehat di Istanbul sekurang-kurangnya satu hingga satu setengah hari,” katanya.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat bagi memastikan semua aktivis dapat menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan trauma susulan tindakan keras rejim Zionis terhadap mereka.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Turkiye serta pasukan diplomatik Malaysia di Ankara dan Tel Aviv atas usaha berterusan dalam rundingan pembebasan tersebut.
Beliau menegaskan, Malaysia akan terus tegas menyuarakan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin serta mengecam sebarang tindakan penindasan rejim Israel terhadap misi kemanusiaan.