SEPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kerajaan sedang menggembleng segala daya dan upaya bagi memastikan semua aktivis serta sukarelawan Malaysia yang terlibat dalam Misi Kemanusiaan Sumud Nusantara (GSF) dibebaskan segera tanpa sebarang kompromi.
Beliau berkata, kerajaan memantau rapi keadaan 23 delegasi negara yang kini ditahan oleh pihak berkuasa Israel selepas kapal mereka dipintas ketika menyertai flotila kemanusiaan menuju ke Gaza.
Menurut Anwar, beliau telah berhubung secara langsung dengan Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim, bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai keadaan para sukarelawan.
“Saya memberi jaminan bahawa segala daya dan upaya sedang digembleng bagi memastikan semua aktivis dan sukarelawan Malaysia dibebaskan segera tanpa sebarang kompromi.
“Saya turut menitipkan salam kepada keluarga delegasi Malaysia dan meminta agar keadaan kesihatan serta kebajikan mereka sentiasa diberi perhatian sepenuhnya,” katanya.
Perdana Menteri yang juga Penaung Utama Misi Kemanusiaan Sumud Nusantara menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berdiam diri dan akan menggunakan saluran diplomatik tertinggi dalam usaha membawa pulang mereka.
Terdahulu, Sani Araby memaklumkan beliau dihubungi Anwar pagi tadi yang bertanyakan khabar mengenai keadaan keluarga aktivis, kesihatan mereka serta memberi jaminan penuh terhadap usaha kerajaan membebaskan semua tahanan.
Selain itu, Anwar juga dilaporkan telah mengadakan rundingan dengan beberapa pemimpin dunia termasuk Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani, serta Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio.
Usaha ini dilihat sebagai sebahagian daripada tekanan diplomatik berterusan terhadap Israel agar membebaskan kesemua 23 aktivis Malaysia yang kini berada di bawah tahanan mereka.