KUALA LUMPUR: Seorang penulis blog warga asing, Murray Hunter, ditahan di Bangkok bulan lalu selepas gagal mematuhi saman yang dikeluarkan pihak berkuasa Thailand untuk membantu siasatan, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Dalam satu kenyataan, MCMC memaklumkan Hunter telah ditahan pada 29 September di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, dengan penahanan itu berkait rapat dengan kegagalannya mematuhi arahan pihak berkuasa Thailand.
“Semua perkara berkaitan penahanan, kemungkinan kesalahan dan sebarang pertuduhan adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa Thailand. MCMC menghormatinya dan akan mematuhi proses serta keputusan sistem keadilan Thailand,” jelas kenyataan itu.
MCMC turut mendedahkan bahawa laporan polis telah dibuat di Malaysia dan Thailand pada April serta Jun 2024 berhubung penerbitan oleh Hunter yang dikaitkan dengan institusi Malaysia, termasuk MCMC sendiri.
Hunter, seorang warganegara Australia, menjalankan aktiviti penerbitannya dari Thailand dan kandungan tersebut turut boleh diakses dari dalam negara itu.
Selain laporan polis, satu tuntutan sivil juga difailkan terhadap Hunter di Malaysia, dengan dokumen tuntutan telah disampaikan kepadanya ketika berada di Thailand.