Tuesday, 7, October, 2025
Utama Nasional Rundingan dengan Trump tekankan hak merdeka Palestin, berdaulat – PM

Rundingan dengan Trump tekankan hak merdeka Palestin, berdaulat – PM

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa perbincangannya dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengenai rundingan damai terkini perlu menjamin hak rakyat Palestin untuk hidup dalam keadaan selamat, merdeka dan berdaulat.

Anwar berkata, pendirian Malaysia terhadap pelan damai berkenaan bersifat terhad dan tertakluk kepada keputusan negara-negara Arab, dunia Islam serta pendirian Hamas.

“Dukungan kita bersifat terbatas kerana masih mahu melihat jaminan terhadap kebebasan dan kemerdekaan Palestin. Namun, keputusan Malaysia juga akan mengambil kira pandangan negara Arab, negara Islam dan Hamas sendiri,” katanya dalam sidang media khas berhubung pembebasan aktivis Global Sumud Flotilla (GSF), hari ini.

Beliau menjelaskan, sebahagian kejayaan rundingan yang digerakkan Trump berpunca daripada sentimen global yang semakin kuat menentang kekejaman rejim Israel dan menyokong pembebasan Palestin.

Menurut Anwar, Hamas sudah bersetuju dengan tiga syarat utama iaitu menghentikan serangan, membebaskan Palestin dan Gaza serta membuka laluan bantuan kemanusiaan selain membebaskan semua tahanan.

Mengulas lanjut, Anwar berkata rundingan kerajaan Malaysia tidak hanya menumpukan kepada pembebasan 23 aktivis negara itu, tetapi turut menyentuh isu kemanusiaan sejagat dan keadilan buat rakyat Palestin.

“Kita bukan sekadar berunding untuk membawa pulang rakyat Malaysia, tetapi juga membincangkan soal kemanusiaan yang lebih luas termasuk akses bantuan antarabangsa ke Gaza,” katanya.

Tambah beliau, Malaysia turut berbincang dengan rakan serantau seperti Indonesia dan beberapa negara Eropah yang terlibat dalam usaha kemanusiaan bersama GSF.

“Walaupun tidak mudah berdepan dengan rejim penjajahan Israel, misi ini membuktikan keberanian dan kesedaran dunia terhadap penindasan yang berlaku. Ia satu isyarat penting kepada masyarakat antarabangsa,” ujar beliau.

Anwar turut menegaskan bahawa rejim yang bertamadun akan memberi ruang kepada bantuan kemanusiaan, bukan menindas mereka yang cuba membantu mangsa konflik.

“Negara yang berperikemanusiaan tidak akan menolak usaha murni seperti ini. Sebaliknya, hanya kepimpinan yang kejam dan tidak bertamadun akan menyekat bantuan untuk rakyat yang menderita,” katanya lagi.

Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa kesemua aktivis Malaysia kini selamat berlepas dari Israel menuju ke Istanbul sebelum pulang ke tanah air dalam masa terdekat.

Beliau menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Turkiye dan pasukan diplomatik Malaysia yang memainkan peranan besar dalam rundingan pembebasan berkenaan.

“Fokus utama saya ketika ini adalah memastikan semua mereka pulang dengan selamat. Kita berdoa agar perjalanan pulang ke Kuala Lumpur berjalan lancar,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com