Tuesday, 7, October, 2025
Utama Nasional GSF : ABIM hargai diplomasi Anwar, komitmen Malaysia perjuangkan kemanusiaan

GSF : ABIM hargai diplomasi Anwar, komitmen Malaysia perjuangkan kemanusiaan

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas kecekapan diplomasi beliau yang berjaya memastikan keselamatan serta kepulangan 23 aktivis Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) berjalan lancar.

Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, berkata kejayaan diplomasi itu mencerminkan komitmen tinggi Malaysia dalam memperjuangkan prinsip kemanusiaan dan solidariti sejagat terhadap rakyat Palestin.

“Ia membuktikan bahawa pendekatan diplomasi berprinsip berteraskan nilai Malaysia MADANI mampu mengimbangi tuntutan kemanusiaan dan keselamatan nasional dengan penuh wibawa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesemua rakyat Malaysia yang ditahan rejim Zionis sejak Khamis lalu berjaya dibebaskan dan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pada jam 6.45 petang waktu Malaysia sebelum tiba di Istanbul pada 8.40 malam, semalam.

Perdana Menteri semalam memaklumkan bahawa proses pembebasan itu melibatkan koordinasi erat di peringkat antarabangsa, termasuk perbincangan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, dan kerajaan Jordan; serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dengan Utusan Khas AS ke Timur Tengah, Steve Witkoff.

Anwar turut menjelaskan, kejayaan pembebasan itu hasil rundingan beliau bersama Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, serta Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, dan Ketua Keselamatan Negara Turkiye, Dr Ibrahim Kalin.

Menurut beliau, usaha membawa pulang aktivis bukan hanya terhad kepada delegasi Malaysia dan Turkiye, tetapi turut melibatkan aktivis antarabangsa dari Eropah dan negara lain.

Ahmad Fahmi berkata, kejayaan diplomasi ini menunjukkan Malaysia bukan sahaja melindungi rakyatnya, tetapi turut memainkan peranan penting sebagai suara moral di pentas antarabangsa dalam menegakkan keadilan dan kemanusiaan sejagat.

“Pendekatan ini wajar dijadikan asas untuk memperkukuh diplomasi kemanusiaan Malaysia bersama masyarakat sivil serantau dan dunia Islam,” katanya.

ABIM turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Turkiye, pihak berkuasa antarabangsa serta badan kemanusiaan yang membantu dalam proses menyelamat dan rawatan aktivis Malaysia, termasuk sokongan psikologi serta kesihatan sebaik tiba di Istanbul.

Selain itu, ABIM menyarankan agar Malaysia terus menjadi pusat koordinasi diplomasi kemanusiaan serantau, dengan melibatkan pertubuhan masyarakat sivil dan rakan antarabangsa bagi memperkukuh jaringan advokasi dan misi kemanusiaan.

Turut menyatakan pandangan sama ialah Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang menegaskan kejayaan pembebasan para aktivis membuktikan diplomasi Malaysia bukan sahaja berprinsip, tetapi juga berkesan.

“Ia manifestasi kepimpinan PMX (Anwar) yang berpaksikan nilai kemanusiaan serta komitmen kerajaan Malaysia MADANI dalam mempertahankan keamanan dunia,” kata Presiden GPMS, Fazreen Fauzi.

Fazreen turut menzahirkan penghormatan dan tahniah kepada wira-wira kemanusiaan Malaysia dalam misi GSF yang menunjukkan keberanian, keikhlasan dan ketabahan luar biasa dalam menyebarkan mesej solidariti rakyat Malaysia kepada Palestin.

“Keberanian para aktivis ini mencerminkan semangat Malaysia MADANI yang berpaksikan kasih sayang, keadilan dan perjuangan nilai kemanusiaan,” katanya.

GSF disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara dengan matlamat menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza serta memecahkan sekatan Israel yang berlarutan sejak bertahun-tahun.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com