Tuesday, 7, October, 2025
Utama Nasional Hubungan Malaysia-Pakistan terus Kukuh, lawatan Shehbaz eratkan kerjasama dua hala

Hubungan Malaysia-Pakistan terus Kukuh, lawatan Shehbaz eratkan kerjasama dua hala

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif ke Malaysia bermula hari ini menandakan keakraban hubungan dua hala antara kedua-dua negara, selain membuka lembaran baharu dalam pelbagai bidang kerjasama strategik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kunjungan berkenaan turut menjadi platform penting bagi memperkukuh hubungan diplomatik dan ekonomi antara Malaysia dan Pakistan, di samping memperluas potensi kerjasama dalam sektor perdagangan, pelaburan, industri halal, pendidikan, pelancongan serta pertahanan.

Menurut Anwar, lawatan itu juga adalah kunjungan balas kepada lawatan rasminya ke Islamabad pada Oktober tahun lalu yang membuktikan komitmen kedua-dua pemimpin dalam mempererat persahabatan antara rakyat dan kerajaan masing-masing.

“Lawatan ini mencerminkan kesungguhan kedua-dua negara untuk memperkukuh jalinan persahabatan yang sekian lama terjalin. Semoga hubungan Malaysia-Pakistan terus mekar dan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini selepas menyambut ketibaan Shehbaz di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pesawat khas membawa pemimpin Pakistan itu dan delegasinya mendarat di Kompleks Bunga Raya, KLIA pada jam 9.46 malam. Ketibaan mereka disambut oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bagi mewakili kerajaan Malaysia.

Lawatan Shehbaz ke Malaysia dijangka turut menyaksikan beberapa perbincangan penting mengenai pengukuhan hubungan ekonomi serta penerokaan peluang baharu dalam industri halal dan perdagangan dua hala.

Selain itu, kedua-dua negara dijangka menandatangani beberapa memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang pelaburan dan pendidikan tinggi.

Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Pakistan telah terjalin sejak 1957 dan kedua-duanya merupakan anggota aktif Komanwel serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Kedua-dua negara juga berkongsi pandangan yang sama dalam isu global termasuk memperjuangkan keadilan sosial, keamanan dunia dan memperkukuh peranan negara membangun dalam perdagangan antarabangsa.

Anwar turut menzahirkan keyakinan bahawa lawatan itu akan membuka jalan ke arah pelaksanaan inisiatif baharu yang mampu memperkukuh daya saing ekonomi kedua-dua negara.

“Insya-Allah, dengan semangat persahabatan yang tulus dan kerjasama strategik yang semakin erat, hubungan Malaysia-Pakistan akan terus berkembang ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com