ALOR SETAR: Kejayaan kerajaan membawa pulang 23 rakyat Malaysia yang ditahan rejim Zionis ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dianggap bukti kukuh kemampuan diplomasi negara di peringkat antarabangsa.
Rata-rata rakyat menzahirkan rasa bangga terhadap keberanian sukarelawan berkenaan serta menghargai tindakan pantas kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim memastikan keselamatan mereka terjamin.
Bagi Nur Liyana Shuhada Ismail, 27, dari Kubang Pasu, beliau menganggap kejayaan itu sebagai tanda Malaysia dihormati di mata dunia.
“Bukan mudah untuk berunding dengan rejim Zionis, tapi kerajaan kita berjaya uruskan dengan cara yang berhemah. Ini membuktikan suara Malaysia masih kuat di pentas antarabangsa,” katanya ketika ditemui di Alor Setar, hari ini.
Katanya, keberanian sukarelawan yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi misi kemanusiaan di Gaza wajar dijadikan inspirasi kepada generasi muda.
Sementara itu, Mohd Fadzil Rahmat, 35, dari Pendang, menyifatkan kejayaan membawa pulang semua aktivis terbabit sebagai bukti kerajaan sentiasa meletakkan keselamatan rakyat sebagai keutamaan.
“Dalam keadaan dunia sekarang, diplomasi bukan sekadar kenyataan politik, tapi langkah strategik untuk lindungi rakyat. Saya hormat cara kerajaan menangani isu ini tanpa menimbulkan ketegangan antarabangsa,” katanya.
Bagi Siti Hajar Abdullah, 31, dari Langkawi, kejayaan itu turut menunjukkan keprihatinan Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin yang sekian lama ditindas.
“Walaupun kita negara kecil, Malaysia sentiasa lantang bersuara menentang kezaliman. Sukarelawan yang sertai GSF itu mewakili semangat rakyat Malaysia yang berani, prihatin dan tak gentar menegakkan keadilan,” ujarnya.
Beliau turut berharap pengalaman 23 aktivis itu dapat dikongsikan kepada masyarakat sebagai pengajaran tentang nilai kemanusiaan dan semangat solidariti sejagat.
Pada Khamis lalu, kapal yang membawa sukarelawan GSF dipintas tentera Israel di perairan Mediterranean sebelum kesemua mereka ditahan dan dibawa ke pelabuhan Ashdod.
Mereka dibebaskan selepas rundingan diplomatik dijalankan oleh kerajaan Malaysia dan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel, pada jam 6.45 petang waktu Malaysia sebelum tiba di Istanbul malam semalam.
Misi GSF disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara dengan tujuan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza dan memecahkan sekatan Israel yang berlarutan sejak sekian lama.