SEPANG: Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif tiba di Malaysia malam tadi bagi memulakan lawatan rasmi selama tiga hari atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pesawat khas membawa beliau bersama delegasi tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 9.46 malam dan disambut oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Shehbaz turut memeriksa barisan kawalan kehormat terdiri daripada 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Kapten Nor Saifullah Mahmad @ Mohammed.
Menurut kenyataan Wisma Putra, lawatan berkenaan merupakan kunjungan balas kepada lawatan rasmi Anwar ke Pakistan pada Oktober tahun lalu dan menggambarkan keakraban hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Shehbaz diiringi beberapa menteri Kabinet Pakistan termasuk Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar, Mohammad Ishaq Dar.
Sambutan rasmi bagi pemimpin Pakistan itu dijadual berlangsung di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya esok, diikuti mesyuarat dua hala antara kedua-dua perdana menteri.
Pertemuan itu akan memberi tumpuan kepada penilaian kemajuan hubungan dua hala serta perbincangan mengenai kerjasama strategik dalam perdagangan, pelaburan, industri halal, pendidikan, pelancongan dan pertahanan.
Kedua-dua pemimpin juga dijangka bertukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Lawatan ini turut menyaksikan pertukaran lima memorandum persefahaman (MoU) membabitkan bidang pelancongan, pendidikan tinggi, pensijilan halal, pencegahan rasuah serta perusahaan kecil dan sederhana, selain satu Pertukaran Nota (EoN) berkaitan latihan untuk diplomat.
Sebagai tanda persahabatan, Shehbaz dijangka menyerahkan naskhah buku “SCRIPT: For a Better Malaysia” dalam versi bahasa Urdu kepada Anwar.
Satu jamuan rasmi juga akan diadakan di Kompleks Seri Perdana bagi meraikan kehadiran pemimpin negara Asia Selatan itu.
Selain itu, kedua-dua perdana menteri akan menghadiri Persidangan Perniagaan dan Pelaburan Pakistan-Malaysia yang bertujuan memperkukuh jaringan ekonomi antara sektor swasta kedua-dua negara.
Lawatan ini dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh Perkongsian Strategik yang terjalin antara Malaysia dan Pakistan sejak 2019.
Data perdagangan menunjukkan nilai dagangan antara kedua-dua negara pada tahun lalu mencecah RM8.07 bilion (AS$1.76 bilion), peningkatan 25.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Eksport utama Malaysia ke Pakistan termasuk minyak sawit, produk petroleum dan bahan kimia, manakala import dari Pakistan terdiri daripada tekstil, hasil pertanian, pakaian, kasut serta produk petroleum.
Kementerian Luar Negeri menjelaskan lawatan berkenaan dijangka membuka lebih banyak ruang kerjasama baharu yang dapat memperkukuh hubungan diplomatik serta memperluas manfaat ekonomi kepada rakyat kedua-dua negara.