Tuesday, 7, October, 2025
Utama Nasional Greta Thunberg dakwa dipukul, dipaksa cium bendera Israel

Greta Thunberg dakwa dipukul, dipaksa cium bendera Israel

oleh Ammar Haziq

ATHENS: Aktivis alam sekitar terkenal, Greta Thunberg mendakwa dirinya dipukul dan dipaksa mencium bendera Israel ketika ditahan oleh tentera rejim itu selepas menyertai misi kemanusiaan ke Gaza, baru-baru ini.

Thunberg, 22, antara 171 aktivis antarabangsa yang ditahan selepas menyertai Global Sumud Flotilla — konvoi bantuan yang berlayar ke Gaza untuk memecahkan sekatan Israel dan menghantar bekalan kemanusiaan.

Kumpulan itu kemudian diusir dari wilayah berkenaan dan diterbangkan ke Greece serta Slovakia sebaik dibebaskan oleh pihak berkuasa Israel.

Dalam ucapannya sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Eleftherios Venizelos, Athens, Thunberg menegaskan bahawa pengalaman peribadinya bukan isu utama, sebaliknya menekankan kekejaman genosid yang sedang berlaku di Gaza.

“Saya boleh menceritakan segala penderaan yang berlaku semasa kami ditahan, tetapi itu bukan kisah sebenar. Hakikatnya, satu pembunuhan beramai-ramai sedang berlaku di depan mata dunia,” katanya.

Menurut Thunberg, dunia tidak boleh terus berdiam diri terhadap penderitaan rakyat Palestin yang disifatkannya sebagai mangsa penindasan sistematik dan dasar aparteid sejak berdekad-dekad lalu.

“Tiada sesiapa boleh berkata mereka tidak tahu. Dunia menyaksikan genosid ini secara langsung setiap hari,” tegasnya dalam ucapan yang disambut sorakan para penyokong.

Beliau turut mengecam tindakan Israel yang menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza, menyifatkannya sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa.

“Negara-negara di dunia mempunyai tanggungjawab undang-undang untuk menghentikan keterlibatan dalam genosid ini. Tiada negara boleh dikecualikan daripada pertanggungjawaban,” katanya lagi.

Global Sumud Flotilla dilaporkan sebagai misi kemanusiaan terbesar yang pernah digerakkan ke Gaza, namun diserang tentera Israel ketika menghampiri perairan wilayah berkenaan pada 1 Oktober lalu.

Dalam serangan itu, puluhan kapal dirampas dan ratusan aktivis ditahan — termasuk Thunberg — sebelum semuanya diusir keluar dari kawasan konflik.

Beliau menegaskan bahawa misi flotilla itu bukan sekadar penghantaran bantuan, tetapi simbol solidariti antarabangsa terhadap perjuangan rakyat Palestin yang ditindas.

“Ini bukan tentang kami. Ini tentang mereka yang dibunuh, yang kelaparan dan yang masih bertahan di Gaza,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com