Wednesday, 8, October, 2025
Utama Nasional 23 sukarelawan Global Sumud Flotilla selamat tiba di KLIA

23 sukarelawan Global Sumud Flotilla selamat tiba di KLIA

oleh Ammar Haziq

SEPANG: Kesemua 23 wira dan wirawati Global Sumud Flotila (GSF) selamat tiba di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 10.13 malam, Selasa.

Ketibaan mereka disambut dengan laungan “Free Palestine”, “Bebas Gaza” dan “Hidup Sumud” oleh ribuan hadirin yang berkumpul sejak petang di Majlis Sambutan Kepulangan Wira Sumud Nusantara Malaysia.

Pesawat Emirates EK452 yang membawa kumpulan sukarelawan itu turut disambut ahli keluarga mereka yang tiba lebih awal sekitar jam 9 malam menaiki bas khas, disambut dengan tepukan gemuruh dan suasana sebak di kalangan pengunjung.

Untuk rekod, semua sukarelawan terbabit pernah ditahan rejim Zionis Israel di perairan antarabangsa pada 2 Oktober lalu ketika menyertai misi menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza yang berdepan kebuluran akibat sekatan berpanjangan.

Antara aktivis Malaysia yang menyertai misi itu ialah Musa Nuwayri, Sul Adil, Taufiq Mohd Razif, Haikal Luqman, Hareez Adzrami, Danish Nazram, Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Norhelmi Ab Ghani, Norazman Ishak, Mohd Asmawi, Rusydi Ramli, Iylia Balqis dan Zulfadhli Khairudin.

Turut serta ialah pengamal media, pendakwah bebas dan selebriti termasuk Zainal Rashid Ahmad, Razali Awang, Muhammad Abdullah, Rahmat Ikhsan, Farah Lee, Hazwani Helmi, Heliza Helmi, Ardell Aryana dan Zizi Kirana.

Suasana pilu turut menyelubungi majlis apabila ada dalam kalangan ahli keluarga dan orang ramai yang tidak dapat menahan air mata sebaik melihat kelibat para sukarelawan pulang dengan selamat.

Turut hadir menyambut kepulangan mereka ialah Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Presiden MAPIM, Azmi Abdul Hamid; serta Mufti Wilayah, Ahmad Fauwaz Fadzil yang membacakan doa kesyukuran.

Sementara itu, Himpunan Solidariti Bersama Gaza dijadual diadakan hari ini di Axiata Arena, Bukit Jalil bermula jam 6 petang, bagi meraikan sumbangan para sukarelawan yang berani mencabar sekatan Israel dalam misi menuju ke Gaza.

Himpunan berkenaan dijangka menghimpunkan ribuan rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pertubuhan bukan kerajaan, aktivis kemanusiaan dan pertubuhan belia di bawah tema “Gelombang Malaysia, Palestin Merdeka.”

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyifatkan para sukarelawan berkenaan sebagai wira dan wirawati kemanusiaan negara yang menjunjung tinggi nilai kemanusiaan sejagat tanpa mengenal sempadan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com