SEPANG: Sebagai tanda penghargaan kepada 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyerahkan telefon bimbit baharu kepada mereka sebaik tiba di tanah air.
Fahmi berkata, sumbangan itu bertujuan memudahkan urusan komunikasi dan perkongsian pengalaman misi melalui saluran digital dengan lebih efisien, selain membantu mereka menyesuaikan diri semula selepas pulang daripada pelayaran mencabar itu.
“Sumbangan kecil ini sebagai tanda terima kasih kepada para sukarelawan yang mewakili rakyat Malaysia dalam misi kemanusiaan dan terus menyalurkan maklumat sepanjang berada di atas kapal. Usaha serta semangat mereka amat dihargai kerajaan,” katanya.
Ketibaan kumpulan sukarelawan itu turut disambut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; selain wakil agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli keluarga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.
Penerbangan Emirates EK342 yang membawa kesemua 27 sukarelawan Malaysia, termasuk empat daripada kapal pemerhati serta lima peguam, mendarat pada 10.07 malam, Selasa.
Pada 2 Oktober lalu, rejim Israel memintas 42 kapal misi kemanusiaan GSF ke Gaza dan menahan 495 aktivis, termasuk 23 rakyat Malaysia, sebelum mereka dibebaskan secara berperingkat bermula 4 Oktober.
Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa kerajaan akan menggantikan telefon bimbit kepada semua sukarelawan terbabit yang terpaksa membuang peranti masing-masing ke laut sebagai langkah keselamatan mengikut prosedur operasi standard (SOP) sebelum pelayaran.
SOP itu dilaksanakan bagi memastikan keselamatan aktivis sekiranya kapal ditahan tentera Israel, dengan setiap delegasi menerima taklimat serta latihan praktikal sebelum misi bermula.