KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam keras tindakan rejim Zionis Israel menahan sembilan kapal misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) yang membawa bantuan ke wilayah bergolak itu, hari ini.
Beliau menyifatkan tindakan berkenaan sebagai provokatif, kejam dan jelas melanggar undang-undang antarabangsa serta prinsip asas hak asasi manusia.
“Tindakan menahan kapal yang membawa bantuan kemanusiaan untuk rakyat Gaza bukan sahaja tidak berperikemanusiaan, malah mencemarkan maruah kemanusiaan sejagat,” katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebook, hari ini.
Perdana Menteri menegaskan, kerajaan menuntut supaya semua aktivis dan sukarelawan Malaysia yang terlibat dalam misi itu dibebaskan segera serta dijamin keselamatan mereka sepanjang tempoh tahanan.
“Kerajaan Madani akan berusaha sedaya-upaya untuk melindungi setiap nyawa rakyat Malaysia yang terbabit dalam misi kemanusiaan ini,” katanya.
Anwar turut memaklumkan bahawa kerajaan akan berhubung dengan negara sahabat serta pertubuhan antarabangsa bagi membantu mempercepat pembebasan mereka.
Terdahulu, kapal Conscience yang membawa aktivis misi kemanusiaan FFC x TMTG dilaporkan dipintas tentera Israel pagi tadi.
Menurut Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), insiden itu berlaku sekitar jam 10.50 pagi waktu Malaysia apabila tentera Zionis melakukan sekatan terhadap semua kapal dalam konvoi berkenaan.