KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bukan bermakna Malaysia tunduk kepada kuasa besar itu, sebaliknya langkah berkenaan bagi membuka ruang rundingan diplomatik demi keamanan serantau, termasuk isu Gaza.
Menurut Anwar, sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia perlu menunjukkan kebijaksanaan dalam mengimbangi hubungan antarabangsa, terutama dalam mendepani kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.
“Harus ada kebijaksanaan. Saya dan rakan-rakan mahukan damai — jangan dibunuh lagi anak-anak kita, jangan diapa-apakan lagi wanita di Gaza.
“Atas nama ASEAN, mengundang Trump bukan menyerah. Saya nak runding, bukan tunduk,” katanya ketika berucap pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam tadi.
Anwar menolak dakwaan segelintir pihak yang menyifatkan lawatan Trump itu sebagai tindakan menjual maruah negara kepada AS.
Katanya, diplomasi perlu dilihat sebagai usaha strategik demi mencapai matlamat jangka panjang, sama seperti pendekatan diambil Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman, yang berunding dengan penjajah British bagi mencapai kemerdekaan Tanah Melayu.
“Tetapi rundingan diplomatik penting kerana matlamatnya adalah kemerdekaan. Jangan jadikan ia polemik politik seolah-olah kita tunduk kepada Trump. Tunku pun ke London jumpa penjajah yang kejam terhadap kita, tapi akhirnya kita merdeka,” katanya.
Perdana Menteri turut menjelaskan, kejayaan membawa pulang 23 aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan Israel baru-baru ini membuktikan keberkesanan diplomasi Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Orang kata apa guna AS sokong Israel. Tapi kita cari penyelesaian — bukan menyerah, tetapi menggunakan helah kebijaksanaan yang disebut sebagai diplomasi,” katanya.
Beliau turut menegaskan, sebagai negara berkecuali dan pemegang prinsip pemusatan ASEAN, Malaysia berhak menjemput semua rakan dialog tanpa memihak kepada mana-mana kuasa besar.
Sebelum ini, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan bahawa kehadiran Trump bukan atas jemputan dua hala Malaysia-AS, sebaliknya sebagai tetamu rasmi ASEAN sejajar dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi blok itu tahun ini.