Friday, 10, October, 2025
Utama Nasional Malaysia gesa keamanan, terima perkembangan gencatan senjata Gaza

Malaysia gesa keamanan, terima perkembangan gencatan senjata Gaza

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Malaysia menyambut baik perkembangan rundingan gencatan senjata di Gaza yang memberi harapan baharu kepada rakyat Palestin selepas berbulan-bulan menanggung penderitaan dan kemusnahan akibat serangan berterusan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap usaha yang boleh menamatkan keganasan dan melindungi nyawa tidak bersalah mesti dilaksanakan dengan penuh keikhlasan serta segera.

“Perkembangan ini memberi sinar selepas berbulan-bulan melalui derita yang tidak tertanggung. Setiap langkah ke arah menamatkan kekejaman mesti diteruskan dengan niat tulus dan kesungguhan,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Terdahulu, Hamas dilaporkan bersetuju dengan fasa pertama pelan gencatan senjata Gaza yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dengan penghargaan terhadap peranan Turkiye, Qatar dan Mesir dalam usaha diplomatik tersebut.

Perjanjian berkenaan merangkumi penghentian peperangan di Gaza, pengunduran pasukan penceroboh, kemasukan bantuan kemanusiaan serta pertukaran tahanan antara kedua-dua pihak.

Dalam kenyataannya, Anwar menegaskan bahawa Malaysia kekal teguh memperjuangkan solidariti kepada rakyat Palestin demi keadilan, maruah dan hak untuk bernegara.

“Berunding bukan bererti menyerah, dan bukan tanda kelemahan. Ia adalah lambang kebijaksanaan serta kematangan dalam mencari jalan damai,” katanya.

Beliau turut menegaskan jemputan kepada pemimpin dunia termasuk Trump ke Malaysia bukan tanda tunduk, sebaliknya mencerminkan keberanian kerajaan menghadapi kuasa besar agar suara kolektif ASEAN dan dunia Islam didengar.

“Malaysia akan terus konsisten dalam memperjuangkan keamanan sejagat sambil mempertahankan kedaulatan serta maruah negara di persada antarabangsa,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com