Friday, 10, October, 2025
Utama Nasional Malaysia teguh perjuang kebenaran, tentang kekejaman Zionis

Malaysia teguh perjuang kebenaran, tentang kekejaman Zionis

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak akan gentar memperjuangkan kebenaran dan akan terus berdiri bersama masyarakat antarabangsa yang cintakan keamanan bagi menentang kekejaman rejim Zionis terhadap penduduk Gaza.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Malaysia komited memastikan suara menentang penindasan terhadap rakyat Palestin tidak akan pernah padam.

“Selagi bumi Gaza terus dibantai dan dinodai, kita tidak akan berdiam diri. Suara kita akan terus bergema di jalanan, di pentas dunia dan di setiap ruang hati rakyat Malaysia,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata, Malaysia bersama masyarakat antarabangsa akan terus mendesak supaya bantuan kemanusiaan disalurkan segera kepada rakyat Gaza yang dizalimi.

Menurutnya, kerajaan juga akan memperkukuh muafakat dengan negara sahabat, dunia Islam serta blok kemanusiaan sejagat dalam usaha merealisasikan misi bantuan dan membuka jalan ke arah keamanan hakiki.

Anwar menegaskan matlamat utama perjuangan itu adalah untuk melihat tertegaknya sebuah negara Palestin yang merdeka, berdaulat dan bermaruah.

Sementara itu, beliau turut meluahkan rasa terharu melihat kehadiran ribuan rakyat pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza: Gelombang Malaysia, Palestin Merdeka di Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi.

“Rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa berhimpun dengan satu hati menyuarakan solidariti terhadap saudara kita di Gaza yang terus dizalimi. Saya amat tersentuh melihat lautan manusia yang hadir dengan jiwa penuh kasih dan keberanian,” katanya.

Beliau menambah, kehadiran rakyat secara sukarela itu mencerminkan semangat dan keprihatinan tinggi terhadap keadilan sejagat.

“Mereka hadir bukan kerana dipaksa, tetapi kerana hati nurani yang menolak kezaliman dan menuntut keadilan. Inilah wajah sebenar Malaysia – bangsa yang berprinsip, berjiwa besar dan tidak rela melihat penindasan bermaharajalela,” katanya.

Himpunan itu diadakan bagi meraikan kepulangan wira kemanusiaan misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza serta mengukuhkan semangat solidariti rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com