KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa bangga terhadap semangat perjuangan dan pengorbanan 23 aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza baru-baru ini.
Beliau berkata, keberanian mereka berlayar ke zon berisiko tinggi demi membawa bantuan kepada rakyat Gaza yang dizalimi rejim Zionis adalah satu sejarah penting buat negara.
“Mereka bukan pergi melancong ke Paris. Ini perjalanan ke Gaza yang dikuasai Israel. Saya sebagai seorang bapa, tentu risau sebab saya tahu mereka mencari susah. Tapi saya hormat mereka kerana anak-anak ini mencipta sejarah — mereka bukan sekadar berbicara, tetapi melangkah dalam jihad sebenar,” katanya.
Anwar yang juga Penaung Sumud Nusantara berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi.
Beliau turut menzahirkan penghormatan kepada keberanian peserta misi yang sanggup meninggalkan keluarga dan keselamatan diri demi solidariti kemanusiaan sejagat.
“Keberanian mereka telah membuka mata dunia. Malaysia boleh berbangga kerana anak bangsanya berada di barisan hadapan memperjuangkan keadilan untuk Palestin,” katanya.
Anwar turut membidas segelintir pihak yang memperlekehkan perjuangan para aktivis dengan menuduh mereka mempunyai agenda peribadi.
“Saya tabik mereka. Ada pula yang cakap niat mereka tak baik, nak popular, nak popularkan pondok dia — manusia jenis apa ini? Kamu tak berani pergi. Bila orang lain pergi, doakanlah. Itu yang mampu kita buat,” katanya.
Beliau menegaskan semangat dan keberanian aktivis tersebut jauh lebih bermakna berbanding mereka yang hanya pandai bercakap tanpa melakukan sebarang tindakan untuk membantu rakyat Palestin.
Misi GSF disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara termasuk Malaysia, berlayar ke Gaza sebagai simbol solidariti serta usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin.
Bagaimanapun, kapal mereka dipintas tentera rejim Zionis pada 2 Oktober ketika berada di perairan zon merah R3 di Laut Mediterranean sebelum dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.
Seramai 23 rakyat Malaysia turut ditahan dalam insiden itu termasuk penyanyi Heliza Helmi dan adiknya Nur Hazwani Afiqah, Farah Lee, Danish Nazran, Zizi Kirana, Ardell Aryana, PU Rahmat dan beberapa lagi aktivis muda.
Kesemua mereka bagaimanapun dibebaskan pada 4 Oktober hasil usaha diplomatik kerajaan Malaysia dengan bantuan kerajaan Turkiye.
Anwar menegaskan keberanian mereka akan terus dikenang sebagai simbol perjuangan rakyat Malaysia yang berpaksikan kemanusiaan dan keadilan sejagat.