Monday, 13, October, 2025
Utama Nasional Parlimen rakam penghargaan kepada Alaktivis Sumud Nusantara Flotilla

Parlimen rakam penghargaan kepada Alaktivis Sumud Nusantara Flotilla

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Parlimen Malaysia merakamkan penghargaan tertinggi kepada aktivis dan sukarelawan negara yang menyertai misi Sumud Nusantara Flotilla, simbol kecekalan rakyat Malaysia memperjuangkan kemanusiaan sejagat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha murni itu membuka mata dunia mengenai keperluan mengangkat nilai kemanusiaan dan menegakkan keadilan sejagat.

Menurut beliau, dunia pasca-Gaza kini menuntut keberanian moral serta kebijaksanaan diplomasi untuk membina ufuk baharu yang menjanjikan keamanan dan keadilan buat semua.

“Dunia sedang berdepan percaturan kuasa dan tragedi kemanusiaan di Gaza akibat kezaliman rejim Zionis Israel, ketika Malaysia pula mempengerusikan ASEAN 2025,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat.

Anwar turut menyatakan sokongan terhadap usaha damai diterajui Amerika Syarikat, Mesir dan Qatar bagi memastikan rundingan antara Hamas dan Israel membawa kepada keamanan serta kemerdekaan rakyat Palestin.

Sebagai penaung Sumud Nusantara Flotilla, beliau turut membacakan bait puisi karya Sasterawan Negara Prof Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh bagi menggambarkan semangat perjuangan rakyat Palestin yang menentang kezaliman.

“Jikalau akarku merangkak ke tanah ini, akan lainlah buahnya nanti; getahnya akan jadi anih — kental, atau beku, atau mengalir melawan arus,” katanya ketika menzahirkan solidariti terhadap penderitaan rakyat Palestin.

Terdahulu, sembilan aktivis Malaysia termasuk wartawan Astro AWANI, Syaff Shukri, dilapor dibebaskan selepas ditahan tentera Israel ketika menyertai pelayaran kapal Conscience anjuran Freedom Flotilla Coalition (FFC).

Kesemua mereka dijangka tiba di Istanbul selepas usaha diplomatik kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar Negeri yang diketuai Datuk Seri Mohamad Hasan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com