LANGKAWI – Pulau Langkawi terus mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa apabila diumumkan sebagai Pulau Kedua Terbaik Dunia dalam senarai “Top Islands: Reader’s Choice Awards 2025” oleh portal pelancongan berprestij, Condé Nast Traveler.
Dengan markah keseluruhan 92.99, Langkawi berjaya menewaskan beberapa destinasi pelancongan terkenal seperti Bali di Indonesia yang berada di tempat keenam dengan skor 89.84, serta Phuket di Thailand yang menduduki tangga kesembilan dengan markah 84.62.
Hanya Pulau Phú Quốc di Vietnam berada di hadapan Langkawi dengan markah tertinggi 95.51, manakala Koh Samui (Thailand) dan Boracay (Filipina) masing-masing berada di tempat ketiga dan keempat dengan markah 92.7 dan 90.54.
Pengiktirafan ini dianggap sebagai pencapaian luar biasa yang mencerminkan usaha berterusan pelbagai pihak dalam memastikan Langkawi kekal sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri Kedah, Dato’ Haji Mohd Salleh Saidin berkata, kejayaan Langkawi itu adalah hasil kerja keras dan komitmen seluruh komuniti pulau berkenaan.
“Syabas kepada semua yang telah menjadikan Langkawi bukan sekadar sebuah pulau, tetapi satu jenama pelancongan antarabangsa yang membanggakan Negeri Kedah dan Malaysia seluruhnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, pencapaian tersebut bukan hanya milik pengusaha hotel dan pemandu pelancong, tetapi juga peniaga kecil, nelayan, agensi kerajaan, pihak swasta serta NGO yang sentiasa berusaha memastikan Langkawi terus menjadi destinasi pilihan pelancong dari seluruh dunia.
Beliau turut berharap agar pengiktirafan itu menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan pada masa akan datang, sekali gus menarik lebih ramai pelancong ke negeri Jelapang Padi.
“Semoga Langkawi terus bersinar sebagai permata pelancongan yang tiada bandingan, mencipta sejarah baharu dan menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Insya-Allah,” katanya.
Anugerah tahunan yang dianjurkan oleh Condé Nast Traveler itu merupakan antara pengiktirafan paling berprestij dalam industri pelancongan global, dengan jutaan pembaca dari seluruh dunia mengambil bahagian dalam undian.
Kejayaan Langkawi ini sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan utama di rantau Asia Tenggara dan membuktikan bahawa Malaysia mampu bersaing di peringkat antarabangsa.