Friday, 17, October, 2025
Utama Mahkamah & Jenayah Mahkamah Tinggi putus MCMC menang saman fitnah terhadap Murray Hunter

Mahkamah Tinggi putus MCMC menang saman fitnah terhadap Murray Hunter

oleh Ammar Haziq

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memenangi kes saman fitnah terhadap individu bernama Murray Victor Hunter (MH) selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam memutuskan beliau bertanggungjawab menerbitkan kenyataan berunsur fitnah terhadap suruhanjaya itu.

Kes sivil berkenaan difailkan MCMC selepas MH didapati menerbitkan beberapa artikel antara April hingga November 2024 yang mengandungi dakwaan palsu dan tidak berasas terhadap suruhanjaya berkenaan.

Artikel berkenaan dipercayai membawa tuduhan serius serta bersifat mengelirukan yang menjejaskan reputasi dan kepercayaan awam terhadap MCMC sebagai agensi pengawal selia komunikasi negara.

Dalam penghakiman yang dibacakan pada 15 Oktober lalu, mahkamah menegaskan bahawa kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk menyebarkan kenyataan palsu, berniat jahat atau berunsur fitnah yang mencemarkan nama individu atau institusi.

Menurut mahkamah, setiap hak untuk menyatakan pandangan mesti disertai tanggungjawab dan perlu dilaksanakan dalam batas undang-undang bagi memastikan keseimbangan antara kebebasan bersuara dan perlindungan reputasi pihak lain.

MCMC dalam kenyataannya hari ini berkata, tindakan undang-undang itu diambil bagi melindungi maruah institusi serta menegakkan prinsip akauntabiliti, integriti dan komunikasi bertanggungjawab dalam ekosistem digital negara.

Suruhanjaya itu turut menegaskan komitmen berterusan untuk memastikan ruang digital kekal selamat, beretika dan bebas daripada penyebaran maklumat palsu yang boleh menjejaskan kepentingan awam.

Keputusan itu dilihat sebagai isyarat jelas bahawa sebarang penyebaran maklumat tidak benar terhadap badan awam akan berdepan tindakan undang-undang tegas.

Dalam masa sama, MCMC menasihatkan pengguna media agar lebih berhati-hati serta memastikan sebarang maklumat yang disebarkan adalah sahih dan tidak bersifat fitnah.

Langkah itu penting bagi mengekalkan keyakinan masyarakat terhadap sumber maklumat dan memastikan penggunaan ruang digital dijalankan secara berhemah serta bertanggungjawab.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com