KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka memutuskan langkah baharu bagi menangani isu disiplin dan keselamatan pelajar sekolah dalam mesyuarat Jemaah Menteri, susulan peningkatan insiden tidak bermoral membabitkan pelajar sejak kebelakangan ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keputusan itu akan dibuat selepas perbincangan terperinci di peringkat Kabinet bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
“Perkara ini akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet. Saya sudah berbincang secara ringkas dengan Menteri Pendidikan mengenai keperluan tindakan segera bagi menangani masalah disiplin di sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 (AMEM) dan Forum Perniagaan Tenaga ASEAN ke-25 (AEBF-25) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.
Sebelum ini, Perdana Menteri menegaskan kerajaan akan mengambil langkah tegas dan bersepadu bagi menangani isu keselamatan pelajar yang semakin membimbangkan.
Dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, negara digemparkan dengan beberapa insiden serius di sekolah termasuk kes bunuh di Bandar Utama, Petaling Jaya serta kes rogol membabitkan pelajar di Melaka dan Kedah.
Selain itu, Kementerian Pendidikan turut merekodkan peningkatan kes buli dengan 7,681 kes dilaporkan tahun lalu berbanding 6,528 kes pada 2023, menandakan masalah disiplin dalam kalangan pelajar semakin meruncing.
Langkah baharu yang bakal diumumkan esok dijangka merangkumi pendekatan pencegahan, pemantauan dan penguatkuasaan lebih ketat bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan pelajar di sekolah terjamin.