Monday, 20, October, 2025
Utama Nasional Malaysia perkemas koordinasi bantuan kemanusiaan ke Palestin

Malaysia perkemas koordinasi bantuan kemanusiaan ke Palestin

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Pelan penghantaran bantuan kemanusiaan Malaysia ke Palestin akan diselaras secara menyeluruh bagi memastikan setiap bentuk bantuan sampai terus kepada rakyat yang benar-benar memerlukan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan koordinasi rapi amat penting agar segala bentuk sumbangan negara dapat dilaksanakan dengan berkesan dan tidak bertindih dengan usaha pihak lain di lapangan.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan bersama rangkaian masyarakat sivil Malaysia yang menggerakkan misi Ops Ihsan dan Sumud Flotilla di Pejabat Perdana Menteri, pada Khamis.

“Susulan perkembangan terkini di Palestin, saya bersama rangkaian masyarakat sivil Malaysia yang menggerakkan Ops Ihsan dan Sumud Flotilla telah bertemu bagi menyelaras tindakan segera menghantar bantuan kemanusiaan ke Palestin,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Anwar berkata, dengan kebijaksanaan, kecekapan dan semangat solidariti yang ditunjukkan semua pihak, usaha menghantar bantuan itu bukan sahaja akan meringankan penderitaan rakyat Gaza, malah memperlihatkan keprihatinan serta kemanusiaan rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan yang terus komited menyalurkan bantuan dalam keadaan getir, termasuk ke kawasan berisiko tinggi.

Menurutnya, kerajaan akan terus memastikan kerjasama antara agensi kerajaan, NGO dan masyarakat sivil diperkukuh supaya pelan bantuan dapat digerakkan dengan lebih pantas, selamat dan berkesan.

Malaysia sebelum ini antara negara paling lantang menyuarakan sokongan terhadap Palestin di peringkat antarabangsa dan telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kemanusiaan termasuk makanan, ubat-ubatan serta sokongan logistik sejak konflik Gaza memuncak semula tahun lalu.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com