KUALA LUMPUR: Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif Pembiayaan Grid Kuasa ASEAN (ASEAN Power Grid Financing, APGF) yang dibangunkan bersama Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Bank Dunia bagi memperkukuh kerjasama tenaga serantau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata inisiatif itu akan menjadi mekanisme penting dalam menggerakkan pembiayaan tenaga hijau, menyediakan projek yang berdaya dibiayai (bankable projects), serta mempercepat pelaburan rentas sempadan termasuk di daratan dan dasar laut.
Beliau berkata, penubuhan APGF memastikan visi ASEAN untuk mewujudkan Grid Kuasa ASEAN (APG) yang bersepadu sepenuhnya menjelang 2045 dapat dicapai bukan sahaja dari segi teknikal, tetapi juga berdaya saing dalam aspek kewangan dan inklusif.
“Langkah ini mencerminkan tekad bersama untuk memperkukuh hubungan tenaga serantau dan menjadikan ASEAN sebagai model kerjasama mampan serta adil,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 (AMEM-43) dan Forum Perniagaan Tenaga ASEAN ke-25 (AEBF-25) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.
Anwar berkata, Malaysia sentiasa komited terhadap pembangunan Grid Kuasa ASEAN, termasuk melalui Projek Integrasi Kuasa Laos–Thailand–Malaysia–Singapura (LTMS-PIP) yang merupakan perdagangan tenaga pelbagai hala pertama di rantau ini.
Menurutnya, projek berkenaan kini diperluas ke Sarawak dan seterusnya ke Indonesia, dengan potensi penglibatan Brunei dan Filipina dalam fasa seterusnya, sekali gus mengukuhkan jaringan tenaga rentas sempadan di ASEAN.
“ASEAN mesti bergerak sebagai satu entiti. Jika kita berjaya, kejayaan itu dikongsi bersama; jika kita lambat, salahkan Menteri Fadillah,” katanya berseloroh, merujuk kepada Menteri Tenaga Peralihan dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau menegaskan, grid tenaga bersepadu itu bukan sahaja akan memperkukuh integrasi serantau dan keselamatan tenaga, tetapi turut menarik pelaburan baharu, mewujudkan pekerjaan berkualiti serta menjadikan ASEAN hab tenaga bersih masa depan.
Katanya lagi, kejayaan APGF dan APG bergantung kepada komitmen politik, penyelarasan peraturan serta kerjasama awam-swasta yang kukuh bagi mempercepat pelaksanaan projek sambungan tenaga merentas sempadan.
“Kita perlu melipatgandakan usaha mempercepat sambungan tenaga, menyeragamkan rangka kerja peraturan dan memperkukuh kerjasama awam-swasta. Forum Perniagaan Tenaga ASEAN ialah platform terbaik untuk menukar pelan menjadi talian kuasa, dan visi menjadi realiti,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jeneral Pembangunan Asia Tenggara ADB, Winfried F. Wicklein, dilaporkan berkata pihaknya memperuntukkan AS$10 bilion (RM47 bilion) bagi membiayai sambungan grid di Asia Tenggara yang dihubungkan ke APG serta pelbagai projek tenaga bersih lain di rantau ini.