Saturday, 18, October, 2025
Utama Negeri 143 projek bernilai RM6.6 bilion dilaksanakan di Kedah

143 projek bernilai RM6.6 bilion dilaksanakan di Kedah

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR: Sebanyak 143 projek pembangunan bernilai keseluruhan RM6.6 bilion sedang dan bakal dilaksanakan di Kedah bagi memperkukuh infrastruktur serta kemudahan rakyat di negeri ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata daripada jumlah itu, 60 projek sedang dalam pembinaan dengan nilai RM3.1 bilion, manakala 83 lagi projek dalam perancangan membabitkan nilai RM3.5 bilion.

Katanya, pelaksanaan projek berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan Malaysia Madani dalam memastikan pembangunan di Kedah terus diperkasa selain bukti kerajaan tidak meminggirkan mana-mana negeri walaupun berbeza aliran politik.

“Saya memaklumkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri bahawa Kedah kini menikmati pelaksanaan dan perancangan projek besar di bawah JKR.

“Ini bukti bagaimana sayangnya kerajaan Malaysia Madani kepada negeri ini walaupun tidak sealiran ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat tapak Projek Membina Jalan dan Jambatan Alor Ganu/Titi Gajah Daerah Kota Setar ke Titi Besi, Kubang Pasu, di sini.

Ahmad berkata, antara projek besar yang sedang atau bakal dilaksanakan di negeri itu termasuk pembinaan kuarters Kementerian Kesihatan (KKM) di Langkawi bernilai RM88.68 juta serta Hospital Kulim yang dianggarkan menelan kos RM400 juta.

Katanya, pelaksanaan projek-projek itu bukan sahaja memperkukuh jaringan infrastruktur negeri, malah memberi limpahan ekonomi dan manfaat langsung kepada rakyat Kedah.

Beliau berkata, secara keseluruhan terdapat 865 projek di bawah seliaan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) di seluruh negara yang kini dalam pembinaan dengan nilai RM49.67 bilion.

“Daripada jumlah itu, 253 projek atau 29.25 peratus disiapkan lebih awal daripada jadual, manakala 266 projek atau 30.7 peratus mengikut jadual, menjadikan 60 peratus projek berjalan lancar tanpa kelewatan.

“Daripada keseluruhan projek itu, 841 diselia JKR Malaysia manakala 24 lagi melibatkan sekolah daif di bawah seliaan JKR Sabah dan JKR Sarawak,” katanya.

Ahmad berkata projek-projek berkenaan membabitkan pelbagai kementerian dan agensi termasuk Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Pertahanan (MINDEF) serta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Katanya, sebanyak 519 projek atau 23.38 peratus yang diselia oleh JKR Malaysia sedang berjalan lancar di mana 253 projek dalam kategori awal dari jadual dan 266 projek pula dalam kategori mengikut jadual.

“Antara penyebab utama mempengaruhi jadual pelaksanaan projek adalah isu kontraktor seperti kemahiran mengurus projek, masalah aliran kewangan
serta isu kekurangan tenaga kerja dan bahan binaan di tapak” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com