Sunday, 19, October, 2025
Utama Nasional Perkukuh daya tahan emosi, bendung pengaruh negatif dunia digital – pakar

Perkukuh daya tahan emosi, bendung pengaruh negatif dunia digital – pakar

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR: Peningkatan kes jenayah membabitkan pelajar sekolah perlu dipandang serius dengan memberi tumpuan terhadap kesejahteraan emosi kanak-kanak sebelum mereka terdedah kepada pengaruh dunia digital.

Pakar Psikologi Kaunseling,  Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Fauziah Mohd Sa’ad berkata
kanak-kanak perlu memiliki asas emosi yang kukuh agar tidak mudah terpengaruh dengan kandungan negatif, tekanan rakan sebaya dan budaya toksik dalam talian.

Katanya, pendedahan awal kepada pendidikan emosi penting bagi membantu anak-anak mengurus tekanan, kekecewaan dan keinginan untuk mendapat pengiktirafan dengan cara yang sihat.

“Apabila mereka mempunyai kemahiran daya tahan, anak-anak tidak akan terlalu bergantung kepada jumlah ‘likes’ atau ‘followers’ untuk menilai nilai diri,” katanya ketika dihubungi Kedah Gazzete di sini, hari ini.

Dr Fauziah berkata, komunikasi terbuka antara ibu bapa dan anak juga memainkan peranan besar dalam membentuk kesejahteraan emosi serta mencegah pengaruh negatif dunia maya.

“Dialog terbuka amat penting supaya anak tidak merasa perlu merahsiakan aktiviti dalam talian.

“Apabila wujud kepercayaan dan ruang perbualan yang sihat, ibu bapa lebih mudah mengesan perubahan tingkah laku awal sebelum ia menjadi masalah serius,” katanya.

Beliau menegaskan, dunia digital kini tidak dapat dielakkan, namun tanggungjawab ibu bapa dan pendidik ialah memperkasa anak-anak dengan kestabilan emosi, kemahiran daya tahan serta sokongan keluarga agar mereka tidak mudah terjebak dengan pengaruh negatif.

Baru-baru ini, negara digemparkan dengan beberapa insiden tragis yang berlaku di sekolah termasuk kes membabitkan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang ditikam sehingga maut oleh seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun di sebuah sekolah menengah di Selangor dan kes rogol bergilir-gilir membabitkan empat pelajar lelaki tingkatan lima dan seorang pelajar perempuan tingkatan tiga di Melaka.

Rentetan itu, kerajaan bakal mewajibkan semua platform media sosial melaksanakan proses pengesahan identiti pengguna atau electronic Know Your Customer (eKYC) bagi memastikan kanak-kanak bawah umur 13 tahun tidak memiliki akaun.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata dilaporkan berkata langkah itu adalah bagi melindungi keselamatan kanak-kanak di alam maya serta memastikan garis panduan komuniti yang ditetapkan oleh platform berkenaan benar-benar dikuat kuasa.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com