Monday, 20, October, 2025
Utama Nasional PM hubungi pemimpin Pakistan, Afghanistan : gesa hentikan ketegangan sempadan secara diplomatik

PM hubungi pemimpin Pakistan, Afghanistan : gesa hentikan ketegangan sempadan secara diplomatik

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbualan telefon dengan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dan Pemangku Perdana Menteri Afghanistan, Mullah Mohammad Hassan Akhund, lewat malam tadi bagi menyuarakan kebimbangan Malaysia terhadap peningkatan ketegangan di sempadan kedua-dua negara itu.

Anwar menegaskan keperluan mencari penyelesaian secara damai melalui saluran diplomasi dan dialog bagi mengelakkan konflik berpanjangan yang hanya akan membawa kesengsaraan kepada rakyat serta menjejaskan keamanan dan kestabilan rantau berkenaan.

Dalam perbualan itu, beliau turut menzahirkan rasa dukacita dan simpati mendalam atas musibah banjir yang melanda Pakistan serta gempa bumi yang menggegarkan timur Afghanistan baru-baru ini.

Perdana Menteri menegaskan, Malaysia akan terus berdiri teguh bersama Pakistan dan Afghanistan serta bekerjasama dengan komuniti antarabangsa dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan selain memperkukuh semangat persaudaraan Islam.

“Malaysia sentiasa menyokong usaha diplomatik bagi memastikan keamanan dan kestabilan serantau. Pendekatan damai adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan pertikaian sempadan yang telah berlarutan sekian lama,” katanya.

Dalam masa sama, Anwar turut menyatakan sokongan terhadap segala inisiatif ke arah keamanan termasuk rundingan damai yang sedang dikendalikan di bawah kelolaan Kerajaan Qatar.

Beliau menegaskan bahawa semangat perpaduan Islam dan dialog berterusan antara negara-negara jiran amat penting bagi memastikan kestabilan politik, ekonomi dan sosial dapat dikekalkan di rantau Asia Selatan.

Anwar turut menzahirkan komitmen Malaysia untuk terus menjadi suara sederhana yang mempromosikan penyelesaian aman dan diplomatik terhadap sebarang bentuk konflik serantau.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com