Tuesday, 21, October, 2025
Utama Nasional Anwar persoal logik cukai baharu jika ketirisan dana awam masih berlaku

Anwar persoal logik cukai baharu jika ketirisan dana awam masih berlaku

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan kewajaran kerajaan mengenakan cukai tambahan kepada rakyat sekiranya hasil sedia ada masih gagal diurus dengan telus dan terus mengalami kebocoran besar.

Perdana Menteri menegaskan, keutamaan kerajaan kini ialah memastikan sistem tadbir urus negara benar-benar bersih sebelum mempertimbang sebarang bentuk cukai baharu.

“Kenapa kita perlu kutip cukai lagi jika hasil yang ada tidak dibelanjakan dengan baik? Mengapa kita harus beranggapan semua hasil dibelanjakan tanpa ketirisan?” katanya ketika berucap pada Forum Ilmu Permodalan Nasional Berhad (PNB), hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dasar percukaian mesti berpaksikan moral dan integriti, bukannya hanya untuk menambah hasil tanpa memastikan ketelusan dalam pengurusan kewangan negara.

Beliau turut mendedahkan bahawa tindakan tegas kerajaan dalam tempoh dua tahun lalu telah berjaya memulihkan semula RM15.5 bilion dana awam hasil daripada pembanterasan rasuah, penyeludupan dan kebocoran hasil kerajaan.

“RM15.5 bilion berjaya kita kembalikan kepada negara, tetapi ada pula yang memperlekehkan usaha ini, seolah-olah tiada apa-apa perubahan berlaku,” katanya dengan nada kesal.

Menurutnya, masih terdapat segelintir pihak, termasuk daripada blok pembangkang, yang menolak usaha pembaharuan serta tidak menghargai langkah kerajaan memerangi penyelewengan yang telah berakar umbi sejak sekian lama.

“Kalau kita lihat perbahasan di Parlimen, hanya penyokong kerajaan yang benar-benar memahami usaha ini. Pembangkang pula memperlekehkan, walhal mereka pernah berdiam diri ketika penyelewengan berlaku,” ujarnya.

Anwar turut menyifatkan budaya ketirisan dan salah guna kuasa sebagai “sampah lama” yang dibiarkan berlarutan selama beberapa dekad, hingga menyebabkan negara menanggung hutang besar dan kerosakan dalam sistem kewangan.

Beliau menegaskan, kerajaan tidak boleh terus menekan rakyat dengan cukai baharu selagi belum memastikan setiap sen hasil negara dibelanjakan secara amanah dan bertanggungjawab.

“Sebelum kita menambah beban kepada rakyat, tanggungjawab kita adalah memastikan pentadbiran ini bersih, telus dan berasaskan moral,” katanya.

Tambahnya, pembaharuan sistem pentadbiran dan pengurusan fiskal yang telus akan menjadi asas utama kepada keyakinan pelabur serta kestabilan ekonomi negara pada masa depan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com