Thursday, 23, October, 2025
Utama Ekonomi ASEAN perlu kekal terbuka dan bersatu hadapi ketidaktentuan global

ASEAN perlu kekal terbuka dan bersatu hadapi ketidaktentuan global

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa ASEAN mesti terus menjunjung prinsip keterbukaan dan perpaduan dalam mendepani cabaran dunia yang semakin tidak menentu dan kompleks.

Menurut beliau, prinsip multilateralisme yang selama ini menjadi asas hubungan antarabangsa kini semakin lemah, sekali gus menuntut pendekatan baharu yang lebih fleksibel dan strategik dalam membina kerjasama serantau.

“Dalam landskap yang sedang berubah ini, tiada salahnya untuk kita meneroka alternatif baharu dan strategik yang mampu memberi manfaat bersama serta hasil yang nyata,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutup pada DHL GoTrade Summit 2025 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.

Anwar menekankan bahawa kerjasama antarabangsa tidak seharusnya bergantung kepada perjanjian mengikat yang sering terjejas akibat perbezaan kepentingan, sebaliknya perlu berpaksikan protokol fasilitasi sukarela dan fleksibel yang dapat menghasilkan keputusan sebenar serta membina kepercayaan tulen.

“Dunia tidak memerlukan lebih banyak retorik tentang peraturan, tetapi komitmen semula terhadap keadilan dan hasil yang nyata,” tegas beliau.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa dasar tarif, sekatan serta polisi perdagangan yang kerap berubah kini telah membentuk semula rantaian bekalan global, sekali gus menguji kekuatan ekonomi serantau.

“Ketidaktentuan ini mengingatkan kita tentang pentingnya daya tahan, kelincahan dan kerjasama serantau. Malaysia percaya bahawa dalam suasana tidak menentu ini, ASEAN mesti terus menjunjung prinsip keterbukaan dan perpaduan,” katanya.

Beliau turut menyeru agar negara-negara anggota ASEAN memperkukuh daya tahan ekonomi dan memperluas ruang kerjasama yang saling menguntungkan, bagi memastikan rantau ini kekal stabil dan berdaya saing di tengah-tengah perubahan global yang pesat.

Anwar berkata, Malaysia komited untuk menerajui dialog serantau yang berpaksikan keadilan, kemakmuran bersama dan keberhasilan yang dapat dirasai oleh rakyat di setiap negara anggota ASEAN.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com