Thursday, 23, October, 2025
Utama Tech Kerajaan komited perkasa PKS melalui pelbagai inisiatif

Kerajaan komited perkasa PKS melalui pelbagai inisiatif

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Kerajaan kekal komited memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara melalui pelbagai inisiatif termasuk jaminan tambahan, kemudahan pembiayaan serta sokongan bagi memperkukuh inovasi dan pendigitalan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu penting bagi memastikan Malaysia kekal sebagai hab pelaburan yang diyakini di rantau ini serta menjamin perusahaan tempatan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan ekonomi global.

“Ia juga bagi memastikan perusahaan tempatan dan syarikat pemula terus berdaya saing di pasaran antarabangsa. Haluan masa depan mesti berpaksikan teknologi, kelestarian dan keterangkuman untuk terus berjaya,” katanya menerusi hantaran di laman sosial X, pada Selasa.

Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam masa sama menyeru pemain industri PKS agar tidak leka dengan perubahan pesat dunia teknologi, termasuk transformasi digital, kecerdasan buatan (AI) dan automasi yang kini bukan lagi dianggap kemewahan tetapi keperluan utama menentukan daya saing negara.

Katanya, usaha memperkukuh ekosistem PKS menjadi antara fokus utama kerajaan dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal mampan serta berupaya menarik pelabur luar yang yakin terhadap kestabilan dan kecekapan Malaysia.

“Transformasi digital, AI dan automasi bukan lagi pilihan tetapi tuntutan. Jika PKS mahu kekal relevan dan maju, mereka mesti beradaptasi dengan pantas,” ujarnya.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa kerajaan akan terus memperluas bantuan dan akses kepada pembiayaan, khususnya untuk sektor perusahaan mikro dan sederhana, agar mereka dapat bersaing dalam ekonomi berasaskan teknologi tinggi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com