KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI terus menunjukkan komitmen terhadap pembangunan Sabah apabila meningkatkan kadar Pemberian Khas Persekutuan kepada negeri itu sebanyak dua kali ganda kepada RM600 juta bagi tahun 2025 iaitu jumlah tertinggi pernah direkodkan setakat ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembayaran penuh RM600 juta itu telah disalurkan pada 10 September lalu hasil persetujuan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah selepas kajian semula dilaksanakan mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Kadar pemberian khas yang dinaikkan kepada RM600 juta ini bersifat interim sementara kedua-dua kerajaan sedang merumuskan kaedah baharu bagi menentukan perkiraan pemberian khas pada masa depan,” katanya ketika berucap pada sesi penerangan mengenai pendirian Kerajaan MADANI berhubung Pemberian Khas Persekutuan kepada Sabah di Dewan Rakyat.
Menurut beliau, kadar pemberian khas sebelum ini kekal RM26.7 juta sejak 1969 sebelum meningkat kepada RM53.4 juta pada 2019, RM125.6 juta pada 2022 dan RM300 juta pada 2023.
Anwar menjelaskan, kajian semula kadar pemberian khas dibuat secara berkala dan diwartakan pada 2022, 2023 serta 2025, dengan mengambil kira kedudukan kewangan kerajaan Persekutuan dan keperluan menampung kos perkhidmatan di Sabah.
Beliau berkata, perbelanjaan Kerajaan Persekutuan untuk Sabah terus meningkat secara konsisten di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI, mencerminkan iltizam kerajaan memastikan pembangunan seimbang antara wilayah.
“Jumlah perbelanjaan sebenar bagi negeri Sabah mencecah RM13 bilion pada 2022, meningkat kepada RM14 bilion pada 2023 dan 2024, dan dijangka meningkat kepada RM17 bilion bagi 2025 serta 2026. Ini jauh melebihi hasil dikutip di Sabah sekitar RM10 bilion setahun,” katanya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan turut mengambil maklum keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober lalu berhubung kajian semula pemberian khas Persekutuan kepada Sabah dan akan meneliti alasan penghakiman sebelum mengambil tindakan lanjut atas nasihat Peguam Negara.
“Keputusan mahkamah itu diambil serius dan kita menunggu tindakan kerajaan Sabah selepas Pilihan Raya Negeri akan datang. Tidak timbul soal kerajaan Persekutuan menyedut hasil Sabah kerana hakikatnya, perbelanjaan untuk Sabah jauh melebihi hasil yang diperoleh,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, di bawah Belanjawan 2026, peruntukan pembangunan untuk Sabah turut meningkat kepada hampir RM7 bilion iaitu tertinggi berbanding negeri lain.
Antara projek utama yang akan dilaksanakan termasuk Pusat Jantung Sabah di Kota Kinabalu bernilai RM125 juta, jalan Kalabakan ke Simanggaris (RM416 juta) dan Talian Penghantaran Elektrik Southern Link Fasa 1A (RM200 juta).
Selain itu, kerajaan turut meneruskan semula projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B dengan kos keseluruhan RM14 bilion melibatkan RM5 bilion peruntukan pembangunan dan RM9 bilion melalui pinjaman.
“Sejak tahun lalu, kerajaan juga menyediakan pembiayaan RM1 bilion bagi projek air Sabah yang dijangka siap tahun depan,” katanya.
Anwar menegaskan, semua langkah itu membuktikan Kerajaan MADANI bukan sekadar menunaikan tanggungjawab fiskal, tetapi benar-benar komited memastikan kemajuan Sabah sejajar dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).