PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau belum menerima sebarang surat atau maklumat rasmi berhubung peletakan jawatan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
“Belum lagi,” katanya ringkas ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Quddus, Presint 16, di sini, hari ini.
Anwar memaklumkan, Ewon turut hadir dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikannya pagi tadi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media yang menyebut Ewon sedia berundur daripada Kabinet sekiranya Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengiktiraf hak Sabah menerima 40 peratus hasil Persekutuan.
Terdahulu, Presiden UPKO itu dilapor berkata pendiriannya itu selaras dengan resolusi Konvensyen UPKO Bahagian Penampang yang menuntut beliau berundur jika AGC meneruskan rayuan.
Pada 18 Oktober lalu, AGC memaklumkan akan meneliti alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung pemberian khas negeri Sabah sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.
Mahkamah sebelum ini memutuskan kerajaan Persekutuan gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad dan mengarahkan semakan semula dibuat dalam tempoh 90 hari, manakala persetujuan bersama perlu dicapai dalam tempoh 180 hari.