Saturday, 25, October, 2025
Utama Nasional Aktiviti arak, judi dilarang diadakan dalam dewan sekolah – PM

Aktiviti arak, judi dilarang diadakan dalam dewan sekolah – PM

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, sebarang aktiviti melibatkan arak dan perjudian tidak boleh dijalankan di dalam dewan sekolah kerana ia bertentangan dengan konsep serta falsafah pendidikan negara.

Beliau berkata, meskipun dewan sekolah disewa pihak luar, ia tetap tertakluk kepada peraturan dan nilai yang menjadi asas kepada institusi pendidikan.

“Suasana sekolah, walaupun selepas waktu pembelajaran, tidak boleh digunakan untuk kegiatan yang melanggar peraturan sekolah. Walaupun disewa oleh badan bebas, jika ada arak dan perjudian, itu bukan mendidik anak-anak,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.

Anwar turut memaklumkan bahawa Menteri Pendidikan telah membawa perkara itu kepadanya dan menegaskan tindakan kawalan akan diperketatkan bagi mengelak kejadian sama berulang.

Perdana Menteri berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan daripada Ahmad Fadhli Shaari (PN–Pasir Mas) berhubung penganjuran pesta arak di kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Michael, Kuala Lumpur, pada 27 September lalu.

Menurut Anwar, larangan itu bukan bermaksud menafikan hak masyarakat bukan Islam, sebaliknya bertujuan memelihara maruah dan nilai pendidikan di semua sekolah.

“Sekolah ialah tempat ilmu, moral dan nilai. Kita minta rakan-rakan bukan Islam faham, sebab anak-anak mereka juga tidak diajar minum arak atau berjudi sejak kecil. Budaya itu perlu mencerminkan nilai Malaysia secara keseluruhan.

“Kalau mahu adakan aktiviti seperti itu, buatlah di dewan lain. Sekolah bukan tempatnya,” tegasnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com