KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan keselamatan penuh kepada semua pemimpin dunia yang akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.
Menurutnya, kerajaan Malaysia menitikberatkan keselamatan para pemimpin luar sebagai keutamaan utama sepanjang sidang berlangsung, walaupun pada masa sama menghormati hak rakyat untuk menyuarakan pendapat dan mengadakan protes secara aman.
“Saya tidak kisah kalau ada pihak mahu berprotes menentang saya di Kuala Lumpur. Tapi apabila melibatkan keselamatan pemimpin yang datang ke Malaysia, saya tidak akan benarkan sebarang tindakan yang boleh menggugat perjalanan sidang ini. Keselamatan adalah keutamaan kerajaan,” katanya dalam taklimat khas bersama pengarang kanan media.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) merupakan kemuncak kepada kepengerusian Malaysia tahun ini, bertemakan “Keterangkuman dan Kelestarian.”
Antara pemimpin dunia yang dijangka hadir ialah Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva, manakala Perdana Menteri India Narendra Modi akan menyertai secara maya.
Sebelum ini, beberapa pertubuhan masyarakat sivil dan parti politik tempatan dilaporkan merancang untuk mengadakan demonstrasi aman pada 26 Oktober berhampiran lokasi sidang, sebagai membantah kehadiran Trump.
Mengulas kebimbangan bahawa rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China akan mengalihkan tumpuan sidang, Anwar berkata Malaysia menyambut baik sebarang perkembangan positif antara dua kuasa besar dunia itu.
“Jika ada kemajuan dalam hubungan perdagangan antara China dan Amerika Syarikat, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada Malaysia, malah kepada seluruh ASEAN. Kita harus berbangga jika hasil positif dicapai di bumi kita,” katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa 99.9 peratus rundingan perdagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat telah diselesaikan, manakala baki 0.01 peratus akan dimuktamadkan dalam mesyuarat Kabinet pada Jumaat ini.
Dalam pada itu, Anwar menyifatkan penyertaan rasmi Timor-Leste dalam ASEAN sebagai pencapaian besar di bawah kepengerusian Malaysia.
“Timor-Leste wajar diberikan tempat dalam keluarga ASEAN, dan saya berbangga kerana penyertaan rasmi ini berlaku ketika Malaysia menjadi pengerusi,” katanya.
Timor-Leste dijadual menyertai ASEAN secara rasmi pada 26 Oktober ini.