KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menerima kunjungan hormat Ahli Lembaga World Scout Foundation (WSF), YM Puteri Sama bint Faisal Al Saud, bersempena penganjuran acara 77th World Baden-Powell Fellowship Event yang berlangsung di ibu negara sehingga 26 Oktober ini.
Pertemuan itu memberi ruang kepada kedua-dua pihak membincangkan peranan WSF dalam memperkasakan generasi muda di peringkat antarabangsa, termasuk menerusi inisiatif Messengers of Peace yang banyak menyumbang kepada pembangunan belia serta keamanan sejagat.
Dalam pertemuan berkenaan, Anwar menegaskan bahawa Malaysia dan Arab Saudi mempunyai aspirasi bersama untuk terus memperkukuh hubungan dua hala, khususnya dalam bidang pembangunan belia, inovasi sosial serta diplomasi budaya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa kerjasama berterusan antara kedua-dua negara dapat menjadi platform penting dalam menjunjung nilai kemanusiaan sejagat serta membentuk generasi muda yang lebih progresif dan berdaya saing.