Friday, 12, December, 2025
Utama Nasional Kursus penguatkuasaan jenayah siber tingkat keupayaan penguat kuasa – MCMC

Kursus penguatkuasaan jenayah siber tingkat keupayaan penguat kuasa – MCMC

oleh Ammar Haziq

PUTRAJAYA: Kursus Penguatkuasaan Jenayah Siber yang bertujuan meningkatkan keupayaan pegawai penguat kuasa dalam aspek penyiasatan, pengumpulan bukti digital, pengurusan kes serta pelaksanaan tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan, kursus itu merupakan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pada Majlis Penutupan Pemukiman Antara Agensi mengenai Jenayah Siber 2025 yang diadakan di Melaka.

Menurut kenyataan itu, Fahmi menzahirkan komitmen berterusan kerajaan untuk memperkukuh kesiapsiagaan negara menghadapi ancaman jenayah siber yang semakin kompleks serta merentas sempadan.

MCMC menjelaskan, kursus berkenaan adalah kesinambungan daripada Perjanjian Persefahaman yang ditandatangani pada 11 Mac 2024, yang memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti berkaitan siasatan dan penguatkuasaan.

“Kerjasama antara MCMC dengan PDRM turut merangkumi Op Pedo 1 (Disember 2024), Op Pancing (September 2025) dan Op Pedo 2 (September 2025),” kata MCMC.

Kursus tersebut akan mula dilaksanakan tahun depan dengan memberi fokus kepada modul latihan standard untuk pegawai penguat kuasa daripada pelbagai agensi kerajaan, melibatkan kepakaran pelbagai agensi keselamatan jenayah siber di peringkat nasional.

“Inisiatif ini diharap dapat membentuk barisan penguat kuasa yang bersepadu dan responsif terhadap ancaman siber di negara ini,” jelas kenyataan itu lagi.

Dalam kenyataan sama, MCMC turut mendedahkan purata kos ketirisan data di rantau ini pada tahun lalu dianggarkan melebihi USD3 juta (sekitar RM12.7 juta), manakala kerugian akibat penipuan di Asia mencecah USD688.4 bilion (kira-kira RM2.91 trilion), dengan seorang daripada dua rakyat berdepan penipuan setiap bulan.

Di Malaysia, sejak 2022 MCMC telah menyekat 2.2 bilion panggilan meragukan dan 2.2 bilion SMS tidak diminta, menamatkan 185,499 talian SMS mencurigakan serta mengemukakan 12,001 permohonan penurunan kandungan penipuan pelaburan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 kedahgazette.com - All Rights Reserved | Hakmilik - Mercu Media Advertising Sdn. Bhd.