Friday, 12, December, 2025
Utama Nasional Malaysia–Timor-Leste perkukuh kerjasama demi Asia Tenggara lebih terhubung : Fahmi

Malaysia–Timor-Leste perkukuh kerjasama demi Asia Tenggara lebih terhubung : Fahmi

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Kerjasama strategik antara Malaysia dan Timor-Leste disifatkan sebagai langkah penting ke arah merealisasikan visi mewujudkan Asia Tenggara yang lebih terhubung, bersatu dan progresif.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata komitmen kedua-dua negara dizahirkan menerusi pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU) yang memfokuskan kepada bidang telekomunikasi serta pembangunan media dan komunikasi sosial.

Beliau berkata kerjasama itu bukan sekadar memperkukuh hubungan dua hala, malah menyokong aspirasi serantau untuk membina rantau ASEAN yang makmur dan berdaya saing.

“Sistem komunikasi yang kukuh dan boleh dipercayai menjadi asas penting dalam kehidupan moden, menghubungkan masyarakat, memperluas peluang ekonomi, menyokong pendidikan serta mendekatkan komuniti,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani MoU antara Malaysia dan Timor-Leste di sini.

MoU pertama dimeterai antara Fahmi dan Menteri Pengangkutan serta Komunikasi Timor-Leste, Miguel Marques Goncalves Manetelu, bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang telekomunikasi.

Sementara MoU kedua ditandatangani antara Fahmi dan Setiausaha Negara bagi Komunikasi Sosial Timor-Leste, Expedito Loro Dias Ximenes, bagi memperluas kerjasama dalam bidang media dan maklumat.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa, serta Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Fahmi berkata pengendali utama rangkaian mudah alih Malaysia iaitu CelcomDigi, Maxis, TM dan U Mobile  telah berjaya melaksanakan perkhidmatan perayauan data 4G di Timor-Leste sejak 17 Oktober lalu.

“Pencapaian ini hasil usaha bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Pihak Berkuasa Komunikasi Nasional Timor-Leste (ANC) serta penyedia tempatan seperti Telkomsel, Telemor dan Timor Telekom,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai MoU kedua, beliau berkata kedua-dua negara akan memperkukuh kerjasama dalam latihan profesional, pertukaran berita, serta pembangunan kapasiti media.

“Media yang bertanggungjawab berperanan menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat, memupuk kefahaman antara negara, serta mempromosikan ketelusan. Usaha ini juga membuka ruang kepada perkongsian cerita yang menonjolkan budaya dan aspirasi rakyat kedua-dua negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, Miguel Manetelu menzahirkan penghargaan kepada Malaysia atas sokongan berterusan dalam membantu memperkukuh infrastruktur digital di Timor-Leste.

Beliau yakin pengalaman Malaysia dalam pembangunan ekonomi berasaskan teknologi akan memberi inspirasi kepada negaranya untuk menutup jurang digital dan memperkukuh daya tahan ekonomi.

“MoU ini membuka laluan kepada kerjasama menyeluruh, memperluas pengetahuan teknikal serta meningkatkan keupayaan institusi dan rakyat kami,” katanya.

Sementara itu, Expedito Ximenes berkata kerjasama dalam bidang komunikasi sosial mencerminkan kepercayaan dan persahabatan yang lama terjalin antara kedua-dua negara.

Beliau menegaskan, sejak kemerdekaan Timor-Leste dikembalikan pada 2002, Malaysia kekal sebagai rakan penting yang banyak menyokong usaha membina rantau yang lebih bermaklumat dan berdaya tahan.

“Kerjasama ini membuka lebih banyak peluang latihan, perkongsian pengetahuan serta memperkukuh pemahaman budaya antara kedua-dua pihak,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 kedahgazette.com - All Rights Reserved | Hakmilik - Mercu Media Advertising Sdn. Bhd.