Monday, 27, October, 2025
Utama Nasional Malaysia minta Trump kekal teguh galak keamanan termasuk di Gaza

Malaysia minta Trump kekal teguh galak keamanan termasuk di Gaza

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Malaysia meminta Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump supaya terus berpegang teguh kepada komitmen memperjuangkan usaha keamanan di wilayah bergolak di seluruh dunia, termasuk di Semenanjung Gaza.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia mengiktiraf peranan Trump dalam menggalakkan keamanan dan berharap pemimpin AS itu kekal fokus dalam memastikan keamanan menyeluruh serta berkekalan dapat dicapai seperti diharapkan masyarakat antarabangsa.

“Saya benar-benar gembira, Tuan Presiden, apabila mendengar sendiri daripada anda betapa tekadnya anda untuk memastikan keamanan dicapai di kawasan paling sukar diatasi, hampir mustahil, tetapi anda berjaya melakukannya.

“Dan kami telah menunjukkan sokongan dan menyeru AS, terutamanya untuk meneruskan usaha ini dengan sokongan ramai, bukan hanya negara jiran, tetapi juga seluruh dunia,” katanya di sini.

Anwar berkata demikian selepas menyertai Trump menyaksikan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet menandatangani Perjanjian Damai Kuala Lumpur (KL Peace Accord) di luar acara Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang bermula hari ini.

Perdana Menteri berkata, beliau turut mengambil kesempatan membincangkan pelbagai isu dengan Trump selepas menerima pelawaan menaiki kenderaan rasmi presiden, The Beast.

“Apabila Presiden tiba, beliau meminta saya menaiki kereta bersamanya. Saya kata perkara itu bertentangan dengan peraturan keselamatan, namun beliau dengan senang hati melanggar peraturan itu… ia satu perjalanan yang menyenangkan.

“Saya juga mesti berkongsi bahawa saya mengambil peluang itu, sepenuhnya, tanpa pengetahuan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, untuk membincangkan isu-isu lain juga,” katanya.

Trump tiba di Malaysia pagi tadi bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 dan Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20 yang diadakan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara.

Lawatan itu menandakan kunjungan pertama Presiden AS ke Malaysia dalam tempoh sedekad, dan kali pertama Trump sendiri menjejakkan kaki ke negara ini.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan dijadual berlangsung hingga 28 Oktober, dengan beberapa deklarasi bersama bakal digubal bagi menggariskan keutamaan rantau ini terhadap keamanan, kemakmuran dan pertumbuhan mampan.

Sidang kali ini juga menjadi yang terakhir dianjurkan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 sebelum menyerahkan tanggungjawab kepengerusian kepada Filipina.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com