Monday, 27, October, 2025
Utama Nasional ‘Saya pernah dipenjara, tapi Trump hampir sampai ke sana’ – Anwar

‘Saya pernah dipenjara, tapi Trump hampir sampai ke sana’ – Anwar

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: “Saya pernah dipenjara, tetapi dia (Trump) hampir sampai ke sana.”

Itu gurauan selamba Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berkongsi detik santai bersama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sebelum majlis menandatangani deklarasi bersama berhubung perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja.

Anwar berkata, beliau dan Trump mempunyai banyak persamaan, dan gurauan itu mengundang gelak tawa hadirin pada majlis yang diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Menurut Anwar, Trump juga sempat melanggar protokol sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi apabila secara tidak disangka-sangka menjemput beliau menaiki kereta presiden yang dikenali sebagai The Beast.

Katanya, tindakan itu bertentangan dengan protokol keselamatan Presiden Amerika Syarikat, namun Trump tetap berkeras dan menganggapnya satu pengalaman menyeronokkan.

“Trump gembira dapat melanggar peraturan. Ia adalah perjalanan yang menyeronokkan,” katanya.

Majlis berkenaan diadakan sebelum pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur (KL Peace Accord) antara Thailand dan Kemboja yang turut disaksikan pemimpin negara anggota ASEAN serta wakil antarabangsa.

Pertemuan dua pemimpin itu menjadi tumpuan ramai susulan hubungan mesra yang ditunjukkan Anwar dan Trump sejak perbincangan mereka di Washington awal tahun ini mengenai keamanan serantau dan kerjasama ekonomi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com