Wednesday, 29, October, 2025
Utama Nasional Anwar manfaat pertemuan empat mata dengan Trump, bincang isu Gaza dan hubungan Malaysia-AS

Anwar manfaat pertemuan empat mata dengan Trump, bincang isu Gaza dan hubungan Malaysia-AS

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memanfaatkan sepenuhnya peluang berbincang secara empat mata dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ketika menaiki kenderaan rasmi beliau, Cadillac One ‘The Beast’, dari Kompleks Bunga Raya ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 26 Oktober lalu.

Menurut Anwar, perbincangan singkat itu memberi ruang untuk menyentuh dua perkara utama iaitu isu Gaza dan kepentingan Malaysia dalam konteks hubungan antarabangsa serta kerjasama ekonomi.

Beliau berkata, antara perkara yang dibangkitkan termasuk keprihatinan Malaysia terhadap krisis kemanusiaan di Gaza serta keperluan mewujudkan pelan damai yang lebih menyeluruh dan berkekalan.

“Trump tahu mengenai pertemuan saya dengan bekas pemimpin Hamas di Doha. Saya jelaskan bahawa pertemuan itu bertujuan menggesa mereka menyokong inisiatif damai oleh negara Arab dan OIC, bukan menyebelahi mana-mana pihak,” katanya pada sidang media khas penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Anwar turut memaklumkan bahawa Trump memberi jaminan untuk menghentikan serangan sebagai fasa pertama ke arah keamanan, namun beliau menegaskan bahawa keamanan sejati perlu bersifat menyeluruh, merangkumi hak rakyat Palestin.

Selain isu Gaza, perbincangan turut menyentuh hubungan dua hala Malaysia-Amerika Syarikat serta dasar tarif baharu yang dilaksanakan oleh Washington.

“Saya jelaskan kepada beliau bahawa kadar tarif 19 peratus masih tinggi, namun saya berterima kasih kerana mengenakan sifar tarif terhadap eksport utama kita seperti semikonduktor,” katanya.

Dalam masa sama, Trump turut mempersoalkan keputusan Malaysia menjemput negara seperti Brazil dan Afrika Selatan ke Sidang Kemuncak ASEAN kali ini, namun Anwar menjelaskan langkah itu adalah sebahagian daripada usaha memperluas jaringan kerjasama global.

“Beliau mahu tahu tentang hubungan Malaysia dengan jiran terdekat khususnya China, dan saya jelaskan kedudukan sebenar,” tambahnya.

Anwar berkata, beliau menghargai sikap Trump yang disifatkannya sebagai pendengar yang baik dan terbuka dalam membincangkan isu sensitif secara peribadi.

“Saya rasa bertuah kerana beliau membenarkan perbincangan empat mata ini berlangsung dalam suasana penuh keyakinan. Ada pandangan yang tidak sehaluan, tetapi saya sudah sampaikan apa yang perlu – suara hati Malaysia,” katanya.

Menurutnya, jika peluang seperti ini tidak wujud, pandangan Malaysia mungkin tidak didengar secara langsung oleh kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat.

“Sekurang-kurangnya, suara Malaysia mengenai Gaza dan keadilan global kini sampai kepada beliau,” ujar Anwar.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com