Wednesday, 29, October, 2025
Utama Nasional Kemajuan penyelesaian konflik Myanmar permulaan baik – PM

Kemajuan penyelesaian konflik Myanmar permulaan baik – PM

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui masih banyak usaha perlu dilakukan bagi menyelesaikan konflik kemanusiaan di Myanmar, namun menegaskan kemajuan yang dicapai sepanjang Malaysia memegang kepengerusian ASEAN bukanlah sesuatu yang kecil, sebaliknya merupakan permulaan yang baik.

Beliau berkata, usaha berterusan sedang digerakkan termasuk bagi memastikan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) ASEAN dapat diteruskan dengan lebih berkesan demi menghentikan keganasan terhadap rakyat Myanmar.

“Kita berusaha sedaya upaya untuk membawa kebaikan dan perubahan. Upaya kita pertama, hentikan serangan sama ada terhadap masyarakat Buddha atau Muslim di Rakhine, iaitu komuniti Rohingya.

“Bagi saya walaupun tidak selesai sepenuhnya, itu kejayaan sangat besar — satu permulaan. Dan sekarang kita teruskan, sebab isu ini agak rumit kerana melibatkan rundingan, hak warganegara dan sebagainya.

“Tetapi saya sudah maklumkan kepada Senior General Myanmar (Min Aun Hlaing), kita tak boleh terima serangan, pembunuhan dan pemusnahan kampung,” katanya dalam sidang media selepas penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di sini.

Anwar menegaskan, Malaysia konsisten menolak sebarang bentuk keganasan terhadap orang awam di Myanmar dan menyeru kerajaan junta tentera untuk segera menghentikan serangan bersenjata yang hanya memburukkan lagi keadaan di negara itu.

Pada 25 Oktober lalu, pemimpin ASEAN menzahirkan kebimbangan terhadap perkembangan konflik kemanusiaan di Myanmar yang dilihat semakin meruncing, selain memperlihatkan kelembapan dalam pelaksanaan 5PC.

ASEAN dalam kenyataan bersama turut mengecam keganasan berterusan terhadap rakyat Myanmar, kemusnahan kemudahan awam dan serangan terhadap infrastruktur negara itu.

Blok serantau itu menggesa semua pihak terlibat agar mengambil tindakan konkrit menghentikan keganasan secara sewenang-wenangnya, menolak sebarang peningkatan konflik, serta mengamalkan tahap kawalan tertinggi dalam memastikan keselamatan rakyat terjamin.

Media sebelum ini melaporkan Tentera Myanmar melancarkan serangan udara pada 7 Oktober lalu ketika orang awam sedang menyambut Festival Thadingyut dan mengadakan tunjuk perasaan anti-junta di daerah Chaung U, wilayah tengah Myanmar.

Serangan menggunakan paragliding bermotor yang menjatuhkan dua bom itu mengorbankan sekurang-kurangnya 40 orang termasuk kanak-kanak dan mencederakan lebih 80 yang lain.

Konsensus Lima Perkara (5PC) ASEAN antara lain menegaskan keperluan kerajaan Myanmar menghentikan keganasan dengan segera, mengadakan dialog konstruktif dengan semua pihak, serta memberi kerjasama penuh kepada utusan khas ASEAN.

Selain itu, Myanmar turut digesa memastikan penyaluran bantuan kemanusiaan berjalan lancar dan membenarkan lawatan utusan khas ASEAN ke negara itu bagi menilai sendiri situasi sebenar di lapangan.

Menurut Anwar, Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam mencari penyelesaian damai di Myanmar termasuk melalui kerjasama rapat dengan negara-negara jiran serta pihak antarabangsa.

Katanya, ASEAN tidak boleh membiarkan krisis itu berlarutan kerana ia memberi kesan kepada kestabilan dan keselamatan rantau secara keseluruhannya.

“Permulaan ini penting. Ia bukan sekadar menunjukkan keprihatinan, tapi membuktikan ASEAN masih relevan dan berfungsi. Malaysia akan terus berusaha memastikan setiap komitmen dalam Konsensus Lima Perkara diterjemahkan dalam tindakan nyata,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com