Wednesday, 29, October, 2025
Utama Nasional Malaysia berjaya himpun kuasa dunia di pentas ASEAN hasil kecekapan diplomasi

Malaysia berjaya himpun kuasa dunia di pentas ASEAN hasil kecekapan diplomasi

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Malaysia sekali lagi membuktikan kebijaksanaan dalam diplomasi antarabangsa apabila berjaya menghimpunkan hampir semua kuasa besar dunia pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi ASEAN 2025 berkata, kejayaan itu dicapai hasil pendekatan diplomasi berhemah yang diamalkan kerajaan, meskipun terdapat pelbagai tekanan dan kritikan daripada pelbagai pihak.

Beliau menjelaskan, Malaysia tidak berpihak kepada mana-mana blok kuasa dunia, sebaliknya menjalin hubungan baik dengan semua pihak termasuk Amerika Syarikat (AS), China, Jepun, Korea Selatan, India, Australia dan Rusia demi kepentingan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Kenapa berpihak pada China? Tapi kita juga jemput Amerika Syarikat. Ada pula yang persoal kenapa terlalu mesra dengan AS, tapi dalam masa sama kita juga mempunyai hubungan baik dengan Brazil dan Afrika Selatan yang tidak disenangi Barat.

“Hubungan dengan Kesatuan Eropah (EU) juga penting kerana ia berkait rapat dengan perdagangan dan pelaburan negara. Semua keputusan ini dibuat demi kepentingan ekonomi, imej dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam sidang media khas penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, di sini semalam.

Anwar menegaskan, pendekatan diplomasi inklusif itu penting bagi memastikan Malaysia terus kekal relevan di pentas global selain membuka ruang pelaburan, perdagangan serta peluang pekerjaan kepada rakyat.

Sidang kemuncak yang berlangsung selama beberapa hari itu turut menyaksikan kehadiran Presiden AS, Donald Trump; Perdana Menteri China, Li Qiang; serta pemimpin utama negara Jepun, Korea Selatan, India, Australia dan Rusia.

Malaysia turut mengetuai beberapa sidang berprofil tinggi termasuk Sidang Kemuncak ASEAN–AS yang membincangkan isu tarif dan kerjasama perdagangan, serta Sidang Kemuncak ASEAN–China yang menekankan komitmen terhadap perdagangan bebas dan pembangunan infrastruktur serantau.

Selain itu, Malaysia juga mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN Plus Three (APT) bersama China, Jepun dan Korea Selatan yang memberi tumpuan kepada integrasi ekonomi dan keselamatan makanan.

Negara turut menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak Asia Timur, Sidang Kemuncak ASEAN–Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Mesyuarat Pemimpin Asia Zero Emission Community (AZEC) yang menekankan kerjasama dalam bidang tenaga hijau dan kelestarian.

Sepanjang tempoh kepengerusian, Malaysia menerapkan tema “Keterangkuman dan Kemampanan” bagi memastikan pembangunan serantau terus seimbang dan tidak meminggirkan mana-mana negara anggota.

Namun, di sebalik kejayaan menganjurkan pelbagai mesyuarat berprofil tinggi, isu-isu serantau seperti krisis politik Myanmar, ketegangan sempadan Thailand–Kemboja dan ketidakseimbangan perdagangan dengan AS masih menjadi cabaran utama yang perlu ditangani secara berterusan.

Malaysia semalam secara rasmi menyerahkan tugas kepengerusian ASEAN kepada Filipina, menandakan berakhirnya tempoh setahun kepimpinan negara itu dalam blok serantau berkenaan.

Menurut Anwar, pencapaian Malaysia dalam memimpin ASEAN tahun ini membuktikan keupayaan negara kecil untuk memainkan peranan penting di peringkat antarabangsa menerusi dasar luar yang matang, terbuka dan berprinsip.

Beliau turut menegaskan, kekuatan sebenar Malaysia terletak pada kebijaksanaan berdiplomasi dan kemampuan mengimbangi kepentingan pelbagai pihak tanpa mengorbankan kedaulatan negara.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com