Wednesday, 29, October, 2025
Utama Ekonomi Sidang RCEP, EAS tumpu integrasi ekonomi dan kerjasama strategik serantau

Sidang RCEP, EAS tumpu integrasi ekonomi dan kerjasama strategik serantau

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Pemimpin ASEAN dan rakan dialog memberi tumpuan memperkukuh integrasi ekonomi serta memperdalam kerjasama strategik serantau sempena Sidang Kemuncak Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) ke-5 dan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-20 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Kedua-dua sidang kemuncak itu menjadi agenda utama hari kedua Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di bawah tema Keterangkuman dan Kemampanan, dengan tumpuan kepada usaha memperkukuh perdagangan, pelaburan serta kestabilan rantau di tengah cabaran ekonomi global.

Sidang dimulakan dengan pertemuan ASEAN–Republik Korea (ROK) ke-26 yang dihadiri Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung, bersama ketua-ketua kerajaan ASEAN dan Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn. Mesyuarat itu menegaskan semula komitmen terhadap inovasi, tenaga hijau dan pertukaran belia menerusi Inisiatif Solidariti Korea–ASEAN (KASI).

Ia disusuli Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga (ASEAN+3) ke-28 yang melibatkan China, Jepun dan Korea Selatan, dengan penglibatan wakil Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO), Majlis Perniagaan Asia Timur (EABC) serta Sekretariat Kerjasama Tiga Pihak (TCS).

Majlis resepsi khas turut diadakan bagi meraikan kemasukan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ASEAN ke-11, yang turut disertai pemimpin ASEAN, rakan dialog serta Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres.

Sidang RCEP yang berlangsung pada sebelah petang menghimpunkan 15 negara anggota mewakili kira-kira satu pertiga keluaran dalam negara kasar (KDNK) dunia, membincangkan aspek perdagangan, pelaburan dan pengukuhan daya tahan rantaian bekalan serantau termasuk agenda pendigitalan ekonomi.

Sesi diteruskan dengan Sidang Kemuncak EAS yang menyaksikan perbincangan antara ASEAN dan lapan rakan strategik — China, Jepun, India, Korea Selatan, Australia, New Zealand, Rusia dan Amerika Syarikat — bagi memperkukuh kerjasama keselamatan, ekonomi serta pembangunan mampan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com