KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kemasukan rasmi Timor-Leste sebagai anggota penuh ASEAN tidak harus dinilai berdasarkan tahap kemajuan ekonomi atau kekayaan negara itu, sebaliknya berasaskan prinsip persaudaraan, kesamarataan dan penghormatan terhadap kedaulatan sesebuah negara.
Beliau berkata, sejak penubuhannya, ASEAN tidak pernah mendiskriminasi mana-mana negara anggotanya, sebaliknya menekankan nilai solidariti dan maruah bersama sebagai satu komuniti serantau.
“Kita berkawan bukan kerana negara itu kaya. Kita berkawan kerana menghormati negara dan maruah mereka. Sama seperti dalam keluarga, ada yang miskin dan ada yang senang, tetapi kasih sayang tidak ditentukan oleh harta,” katanya ketika sidang media khas penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Anwar berkata, penyertaan Timor-Leste dalam ASEAN adalah hasil perjuangan panjang selama lebih satu dekad, mencerminkan kesungguhan negara itu untuk menjadi sebahagian daripada komuniti Asia Tenggara.
“Sejak 1999 mereka bergelut untuk menjadi sebahagian daripada ASEAN. Mereka bukan asing di rantau ini kerana dari segi sejarah dan budaya, mereka juga merupakan sebahagian daripada keluarga besar Asia Tenggara,” jelasnya.
Menurut beliau, kemasukan Timor-Leste yang sebelum ini merupakan sebahagian daripada Indonesia dan mencapai kemerdekaan pada tahun 2002, merupakan detik bersejarah yang memperkukuh prinsip keterangkuman dan perpaduan serantau.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada semua pegawai Kementerian Luar Negeri Malaysia yang memainkan peranan penting dalam merealisasikan keanggotaan penuh Timor-Leste ke dalam blok ASEAN.
“Sepanjang tahun ini, pegawai Kementerian Luar bertungkus-lumus memastikan proses ini berjalan lancar. Alhamdulillah, akhirnya sejarah mencatatkan kejayaan yang membanggakan ini,” katanya.
Pada 26 Oktober lalu, Timor-Leste secara rasmi diterima sebagai anggota ke-11 ASEAN selepas 14 tahun berkempen untuk keanggotaan penuh. Langkah itu disifatkan sebagai pencapaian penting dalam usaha ASEAN membina komuniti yang inklusif dan berdaya tahan.
Timor-Leste memohon menyertai ASEAN pada tahun 2011 selepas memperoleh kemerdekaan daripada Indonesia melalui referendum yang diselia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1999.
Pada November 2022, negara anggota ASEAN bersetuju secara prinsip menerima Timor-Leste dan memberikan status pemerhati sementara menunggu pelaksanaan Pelan Tindakan Berstruktur ke arah keanggotaan penuh.
Kemasukan rasmi itu kini menandakan lembaran baharu dalam sejarah ASEAN, dengan 11 negara anggota kini bergabung di bawah semangat perpaduan, kesetaraan dan hormat-menghormati antara satu sama lain.