KUALA LUMPUR: Hubungan dan kerjasama antara ASEAN dan New Zealand kekal teguh sejak sekian lama, termasuk ketika menghadapi krisis kemanusiaan serta ketidaktentuan global, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Anwar, Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN–New Zealand yang berlangsung hari ini bukan sekadar meraikan ulang tahun ke-50 hubungan dialog, tetapi juga bertujuan memperkukuh jalinan strategik antara kedua-dua pihak dalam menghadapi cabaran era global.
“Kita berada di sini bukan sahaja untuk meraikan perkongsian yang telah bertahan begitu lama, tetapi juga untuk mencari cara memperkukuh hubungan sedia ada.
“New Zealand telah berdiri bersama ASEAN dalam saat kemakmuran dan juga ketika menghadapi cabaran – daripada krisis kemanusiaan hinggalah ketidaktentuan global,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di pembukaan Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN–New Zealand di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Perdana Menteri turut menyeru negara anggota ASEAN agar memanfaatkan sidang kali ini untuk menilai semula strategi serantau dan membuka ruang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang.
“Perbincangan ini bukan sekadar menavigasi cabaran, tetapi juga meneroka peluang baharu yang boleh dimanfaatkan bersama untuk kemakmuran rantau,” ujar beliau.
Ucapan itu disampaikan di hadapan pemimpin-pemimpin ASEAN serta Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon, yang tiba di Kuala Lumpur bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan.
Tahun ini menandakan ulang tahun ke-50 hubungan dialog ASEAN–New Zealand yang dimulakan pada 1975 di Singapura. Hubungan itu terus berkembang pesat, khususnya melalui pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN–Australia–New Zealand (AANZFTA) pada 2010 dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pada 2020.
Sehingga Jun 2024, nilai perdagangan antara ASEAN dan New Zealand mencecah AS$26 bilion, menjadikan ASEAN rakan dagang keempat terbesar bagi New Zealand.
Anwar berkata, kejayaan ini membuktikan bahawa kepercayaan, keterbukaan dan saling memahami menjadi asas penting dalam menjadikan ASEAN–New Zealand sebagai rakan strategik jangka panjang.
Beliau menegaskan bahawa rantau ini perlu kekal bersatu dalam memastikan kestabilan serantau, memperkukuh rantaian bekalan serta membangunkan sektor ekonomi hijau dan tenaga mampan bagi menghadapi masa depan yang lebih mencabar.
“Dalam dunia yang sedang berubah pantas, keutamaan kita adalah memastikan ASEAN kekal relevan, inklusif dan mampu menyesuaikan diri dengan realiti baharu global. Hubungan dengan rakan seperti New Zealand amat penting dalam memastikan perkara ini tercapai,” katanya.